Wednesday 6 June 2012

TIBAI: DESAKAN TERHADAP AZMIN ALI BERHUBUNG DENGAN SKANDAL RASUAH


SHAH ALAM 31 Mei – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali perlu tampil membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal rasuah yang membabitkannya.
Pesuruhjaya Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) Selangor/Wilayah Persekutuan, Wan Indra Putra Ahmad berkata, Azmin perlu membantu pihak berkuasa itu mempercepatkan proses siasatan sekiranya beliau yakin yang dirinya tidak bersalah dengan segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
Beliau berkata, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa serta Ahli Parlimen Gombak, Azmin perlu lebih bertanggungjawab untuk tampil membersihkan nama beliau serta membuktikan yang dirinya adalah seorang pemimpin ‘bermoral’ tinggi.
“Rakyat sudah bosan dan muak dengan sikap Azmin yang suka berdolak dalih setiap kali timbul tuduhan salah laku melibatkan dirinya dan keluarga beliau.
“Justeru, beliau perlu membantu mempercepatkan proses siasatan rasuah yang melibatkan dirinya itu kerana rakyat berhak tahu perkara yang benar,” katanya.
Beliau mengulas mengenai pendedahan pengendali portal berita propembangkang, Raja Petra Kamaruddin yang mendedahkan bukti pemilikan saham milik isteri Azmin, Shamsidar Taharin bernilai lebih RM7 juta.
Semalam, adik kepada Azmin, Ummi Hafilda turut mendedahkan dokumen sebahagian daripada aset yang dimiliki oleh abangnya itu dan Shamsidar dipercayai bernilai lebih RM30 juta.
Dokumen berkenaan iaitu salinan pembelian syer saham, deposit bank, resit pembayaran perabot serta salinan penyata dalam beberapa akaun bank itu merupakan sebahagian harta yang dimiliki Azmin dan Shamsidar dalam tempoh dua tahun iaitu 1992 hingga 1994.
Kekayaan luar biasa itu menimbulkan tanda tanya banyak pihak kerana ketika itu, Azmin bekerja sebagai Setiausaha Sulit kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menerima gaji hanya sebanyak RM2,442 manakala isterinya pula hanyalah seorang suri rumah yang tidak bekerja.
Wan Indra turut mendesak Azmin supaya mengisytiharkan harta yang dimilikinya termasuk rumah serta kenderaan yang merupakan kepunyaannya dan ahli keluarga beliau supaya rakyat dapat menilai perkara sebenar.
Tambahnya, sebelum ini, Azmin sering menjadi ‘wira’ dengan menuduh pemimpin kerajaan kononnya terlibat dalam skandal rasuah dan kali ini apabila ‘terkena pada batang hidung sendiri’ beliau sepatutnya tahu apa yang perlu dilakukan bagi menafikan setiap tuduhan tersebut.
“Rakyat tidak mahu lagi mendengar pelbagai alasan lapuk seperti menuduh kononnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) sengaja mereka-reka cerita untuk menjatuhkan beliau kerana apa yang rakyat mahukan adalah bukti kukuh daripada Azmin untuk membuktikan yang beliau benar-benar tidak bersalah,” tegasnya._TIBAI

No comments:

Post a Comment