Zamil Ibrahim
Zamil Ibrahim menunjukkan CD, yang menurutnya mengandungi rakaman percakapan Anwar Ibrahim dan transkrip perbualan beliau dengan beberapa pemimpin PKR, pada sidang media hari in
PETALING JAYA - Zamil Ibrahim, yang mendakwa dirinya ketua parti Kita, hari ini mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengakuan sama ada beliau pernah mengeluarkan kenyataan menghina dan menikam pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dari belakang.
Beliau berkata, jika Anwar, Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PR itu, gagal berbuat demikian rakaman video yang dibuat melalui telefon bimbit, yang berdurasi lima minit dua puluh saat itu, akan didedahkan kepada umum.
"Saya desak Anwar sahkan 9 Januari 2008, anda pernah maki Pas, anda pernah hentam DAP dan pelbagai lagi.
"Percakapan ketika itu anda berada dalam PR dan bukan lagi Barisan Nasional (BN)," katanya.
Zamil berkata, Anwar pasti tidak akan berbuat demikian mengenai isu tersebut, namun langkahnya untuk mendedahkan rakaman itu sebagai langkah awal untuk mendedahkan lebih banyak tentang Ketua Pembangkang itu.
"Saya tahu Anwar tak akan tampil beri penjelasan, tapi saya akan tetap dedahkan rakaman tersebut kepada umum.
"Ini adalah mukadimah untuk siri pendedahan klip video rakaman seterusnya yang dibuat oleh beberapa orang sahabat mengenai sikap sebenar Anwar," katanya lagi.
Pada sidang media hari ini, Zamil hanya membacakan transkrip dan tidak memperdengarkan rakaman dari CD yang ditunjukkan kepada wakil media.
Katanya, dalam rakaman itu ada suara tiga lagi pemimpin PKR iaitu Pengerusi PKR Kedah ketika itu, Zamri Yusof; (bekas) Ketua PKR Jerai, Kalai Vanan dan Ketua PKR Pulau Langkawi, Wan Salleh yang sedang berbual bersama Anwar mengenai isu pembahagian kerusi.
Sementara itu, menurut Zamil, sikap Anwar yang sering tikam belakang memberi kesan besar kepada negara dan sepatutnya beliau lebih sepakat dalam membawa haluan parti yang dipimpinnya itu.
Zamil bagaimanapun tidak menyebut bila kandungan CD itu akan didedahkan kepada umum.
Apabila ditanya beliau hanya menjawab: "Ini mukadimah sahaja dan saya akan dedahkan dalam masa yang sesuai. Tak lambat dalam masa terdekat sahaja."
Zamil, bekas Ketua Angkatan Muda PKR Kedah dan bekas Exco Angkatan Muda PKR pusat keluar parti itu pada 2008.sinar