Wednesday 26 September 2012

Mahkamah Tolak Permohonan Tarik Diri Peguam Rayuan Qazaf Anwar



KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan Syariah di sini, hari ini menolak permohonan penarikan diri seorang peguam syarie daripada mewakili Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan dua yang lain dalam rayuan kes qazaf yang dikemukakan Kaaetua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Zohdi Toha sebulat suara menolak permohonan Datuk Zainul Rijal Abu Bakar setelah mendapati peguam syarie itu memfail notis permohonan penarikan diri menggunakan borang yang tidak betul.
 Hakim Zohdi, yang bersidang bersama Hakim Datuk Aidi Moktar dan Hakim Hussin Harun, turut memerintahkan Zainul Rijal membayar kos mahkamah.

Hakim Zohdi ketika membuat keputusan itu, berkata Zainul Rijal telah mengisi borang MS 19 iaitu Notis Penarikan Balik Prosiding mengikut Seksyen 95(1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998, dan bukan borang MS 8 iaitu Notis Penarikan Diri Peguam Syarie.
“Dalam kes ini, Zainul Rijal berhasrat menarik diri daripada mewakili ketiga-tiga anak guamnya itu tetapi beliau menggunakan borang yang tidak betul iaitu borang MS 19 dan penarikan balik yang dimaksudkan dalam borang MS 19 adalah penarikan prosiding kes dan bukan penarikan dirinya, selain perkara itu tidak disampaikan kepada anak guamnya,” kata hakim itu.
Hakim Zohdi berkata, mahkamah turut berpuas hati dan memutuskan Zainul Rijal masih lagi peguam syarie bagi ketiga-tiga anak guamnya untuk rayuan kes qazaf yang dikemukakan Anwar terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Pada 18 Ogos tahun lalu, Zainul Rijal memfailkan notis permohonan untuk menarik diri daripada mewakili Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain, Pengarah Jabatan Agama Islam (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Pada hari sama, Anwar turut memfailkan permohonan untuk menghalang Zainul Rijal daripada mewakili tiga anak guamnya berhubung rayuan kes pertuduhan qazaf itu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh mengemukakan permohonan itu dengan alasan peguam syarie itu berkelakuan tidak profesional, tidak bersifat jujur dan tidak berniat baik untuk menegakkan keadilan.
Beliau mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi pada 14 April 2010, menolak permohonannya supaya memerintahkan pendakwaan syarie meneruskan pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful.
Sementara itu, Peguam Syarie Kamar Aniah Kamaruzaman ketika ditemui pemberita berkata beliau perlu berbincang dengan Anwar sama ada untuk menarik balik permohonan yang difailkan anak guamnya terhadap Zainul Rijal.
Bagaimanapun, Zainul Rijal yang diwakili peguam Roslizam Rahim, menegaskan beliau tetap akan menarik diri daripada mewakili ketiga-tiga anak guamnya itu dan akan mengisi borang penarikan diri secepat mungkin. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment