Friday 14 September 2012

NGO Buat Laporan LHDN Berhubung Isu Dana Asing Suaram

KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat membuat laporan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung isu dana asing yang diterima oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai), Muhammad Zahid Md Arip berkata, beliau dan NGO lain mahu LHDN dengan segera membuka fail siasatan tentang Suaram dan syarikat yang dikaitkan dengannya iaitu Suara Inisiatif Sdn Bhd (Suara Inisiatif).

"Kita mahu LHDN menyiasat apakah mereka (Suaram) pernah mengisytiharkan pendapatan mereka dan kemasukan dana asing ini kepada LHDN?

"Apakah mereka ada membayar cukai atas pendapatan yang mereka terima daripada dana asing selama ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat LHDN di sini, Jumaat.

Turut hadir ialah Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah dan Presiden Orang Muda Bersepadu Anti Korupsi (Ombak), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad.

Muhammad Zahid berkata, LHDN diminta membuat semakan sekiranya sebelum ini Suaram ada membuat pengisytiharan kepada agensi itu mengenai pendapatan mereka.

"Kita mahu LHDN menyemak dan mengkaji semula pengisytiharan tersebut secara terperinci kerana kita bimbang mereka telah mengemukakan pengisytiharan palsu," katanya.

Beliau menambah, Suaram mungkin boleh mengatakan mereka adalah NGO yang tidak perlu bayar cukai tetapi ia sebenarnya adalah sebuah pertubuhan tidak berdaftar.

Ketika ditanya mengenai maklum balas LHDN berhubung laporan yang dibuat, Muhammad Zahid berkata, perkara tersebut sudah pun diserahkan kepada pegawai yang bertugas dan akan memberi ruang kepada mereka menjalankan siasatan.

"Kita tidak akan ganggu siasatan, kerja mereka. Tetapi saya yakin mereka akan membuat kerja mereka," katanya.

Isu Suaram timbul apabila ia dikaitkan secara langsung dengan sebuah syarikat, Suara Inisiatif yang menerima dana asing dari luar negara.

Antara lain apabila Suaram dilaporkan menerima dana lebih AS$180,000 (RM558,556) daripada sebuah NGO di Amerika Syarikat iaitu Open Society Institute, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan spekulator mata wang, George Soros sepanjang tahun 2007 hingga 2010._mstar
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment