Saturday 8 September 2012

Rangka Tindakan Pendidikan Nasional: Fokus Lahir Guru Efektif, Pelajar Kritis

PETALING JAYA: Fokus Rangka Tindakan Pendidikan Nasional 2013-2025 akan bertumpu untuk melahirkan guru-guru efektif dan pelajar kritis.

Dua elemen itu akan mendapat penekanan lebih besar dalam transformasi sistem pendidikan di bawah pelan tindakan yang akan diumumkan pada Selasa depan.

Beberapa pendekatan baru dan lama akan diguna pakai bagi memastikan sistem pembelajaran efektif di dalam bilik darjah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang berfikiran kritis.

Kerajaan juga akan mengkaji dan memperbaiki kurikulum sekolah rendah dan menengah untuk melahirkan pelajar dengan kemahiran berfikiran yang lebih baik.

Timbul kebimbangan terhadap kemerosotan pretasi di kalangan pelajar dalam ujian luar walaupun terdapat pelajar cemerlang dan memenangi anugerah antarabangsa termasuk 66 Sekolah Berpertasi Tinggi.

Untuk mencapai pendidikan cemerlang, profesion perguruan akan menjadi lebih menarik untuk memikat ramai graduan berkaliber tinggi dengan lebih banyak saluran untuk promosi dan pertumbuhan karier.

Ini adalah antara beberapa pendekatan yang akan dikongsi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan pelan tindakan itu.

Pengumuman akan disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM, TV3 dan Astro pada pukul 10 pagi.

Pelan itu dijangka mengambil kira kejayaan dan kelemahan sistem pendidikan dan dari situ, tindakan akan dirangka untuk mencapai pendidikan bertaraf dunia.

Kementerian itu dijangka menilai perkara tersebut di bawah pelan tindakan dan mencari beberapa langkah lebih efektif untuk mendapat manfaat bagi wang yang dibelanjakan dari segi pencapaian pelajar.

Berbeza dengan penambahbaikan sistem pendidikan sebelum ini yang lebih menekankan aspek infrastruktur sistem dan fizikal, pelan tindakan untuk 2013-2025 menjadikan para guru sebagai tulang belakang untuk menghasilkan sistem pendidikan terulung.

Oleh itu, latihan untuk para guru dan 'meningkat kemahiran' akan menjadi keutamaan.

Sebagai contoh, 70,000 guru bahasa Inggeris akan menduduki Ujian Penempatan Cambridge dan mereka yang mendapat markah terendah akan diberi kursus intensif.

Langkah seumpama itu sudah dilakukan walaupun sebelum pelaksanaan rasmi pelan tindakan di bawah bidang kuasa Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selepas dokumen itu diumumkan, Kementerian Pelajaran akan terus mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan.

Maklumat itu akan diperhalusi dan disusun dalam pelan tindakan akhir yang akan dihantar ke Kabinet pada Disember.

Ia adalah pencapaian memberangsangkan bagi kementerian itu untuk meletakkan bersama-sama pelan tindakan awal selepas mendapat pandangan badan-badan antarabangsa seperti Bank Dunia dan Unesco, universiti tempatan dan beberapa pertubuhan.

Apa yang lebih penting adalah berinteraksi dengan rakyat menerusi rundingan meja bulat sejak beberapa tahun lalu.

Secara amnya, pihak berkepentingan iaitu ibu bapa dan komuniti dalam sektor swasta serta Jabatan Pelajaran Negeri harus menyuarakan pendapat dan memainkan peranan penting dalam meningkatkan sistem pendidikan di negara ini.
Sumber.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment