Monday 24 September 2012

Suami Isteri Sanggup Bayar Penderma Sperma

KUALA LUMPUR: Tiada bank sperma di Malaysia menyebabkan pasangan berkahwin yang tidak boleh hamil kerana masalah sperma atau telur sanggup membayar untuk mendapatkan bantuan penderma tempatan dan asing.

Tiada angka rasmi, namun pakar-pakar percaya bahawa kegiatan itu semakin meningkat disebabkan peningkatan kadar ketidaksuburan di negara ini.

"Sepanjang lima tahun yang lalu, kita telah melihat peningkatan dalam ketidaksuburan lelaki daripada 15 peratus kepada 30 peratus," kata Dr Mohamad Farouk Abdullah, Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.

"Kaum wanita yang berusia dan mempunyai masalah dengan ovulasi dan kualiti telur juga ramai mendapatkan rawatan," katanya.

Kajian The Star mendapati sperma dan telur untuk diderma boleh didapati di pusat-pusat kesuburan di negara ini.

Penderma sperma kebiasaannya dipilih daripada lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Manakala penderma telur, wanita sekitar 20 hingga 30 tahun.

Penderma sperma dibayar RM200 dan penderma ovum boleh mencapai ribuan ringgit. Sebuah pusat kesuburan di Lembah Klang sanggup membayar lebih RM7,000 kepada penderma telur.

"Dalam pendermaan sperma atau telur, ada pihak ketiga yang terlibat dalam proses penyawaan bayi" katanya, sambil menambah bahawa amalan tersebut adalah dilarang bagi agama tertentu.

Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia telah menetapkan garis panduan mengenai pembiakan dibantu, tetapi tiada undang-undang yang membenarkan, mengawal atau melarang apa-apa derma.

Garis panduan MMC melarang perdagangan komersil dalam gamet, air mani dan embrio tetapi ini hanya terpakai kepada profesion perubatan.

"Ini kerana tiada undang-undang mengatakan apa yang boleh atau tidak boleh lakukan, ia sering menjadi persoalan apa yang seharusnya dilakukan oleh pasangan tersebut" katanya.

Beliau menambah bahawa Akta Bantuan Teknik Pembiakan sedang digubal untuk mengawal amalan tersebut.

Doktor hanya mengikut garis panduan dan pertimbangan etika dalam aktiviti pendermaan ini.

Pertimbangan etika asas termasuk memenuhi kriteria dengan merahsiakan kedua-dua penderma dan penerima serta memastikan bahawa kedua-dua pihak memahami prosedur dan risikonya.

Mstar online.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment