Saturday 8 September 2012

Takkanlah Itu Pun Sudah Hilang Dari Ketamadunan Manusia.

KHABARNYA Ong Seng Yee, 19, wanita yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dilaporkan berkata bahawa dia sebenarnya tidak menyedari bahawa tindak tanduknya itu adalah satu perbuatan yang boleh disifatkan sebagai menghasut dan oleh itu boleh dkenakan tindakan undang-undang.

Pada pandangan penulis, jawapan yang diberikan oleh Ong itu hanya memperlihatkan satu perkara - betapa generasi muda hari ini tidak memiliki adab dan sopan santun.

Apakah Ong tidak pernah diajar oleh sesiapa bahawa memijak gambar seseorang itu adalah satu perbuatan yang biadap - tidak kiranya sama ada ia gambar perdana menteri ataupun sesiapa saja.
Tetapi itulah yang berlaku dan jawapan yang diberikannya itu (jika benar sepertimana yang dilaporkan oleh media) adalah sangat-sangat menyedihkan dan mengecewakan kita semua.
Ini bukan soal sama ada dia sedar perbuatannya itu salah atau tidak tetapi dia tidak sedar pun yang tingkah lakunya itu adalah biadap dan kurang ajar.
Ini juga mendorong penulis untuk mencadangkan agar kurikulum pembelajaran di sekolah berhubung matapelajaran sivik perlu dikaji dan dilihat semula.
Kanak-kanak yang menghabiskan separuh masa siangnya di sekolah nampaknya kurang peka atau mungkin dan maaf jika tersilap cakap, tidak memahami langsung tentang adab, sopan santun dan budaya masyarakat pelbagai kaum di negara kita.

Berapa ramaikah remaja Melayu yang memahami adab dan resam kaum Cina dan India dan begitu juga sebaliknya? Mungkin tidak ada langsung.

Namun common sense tidak perlu untuk mengajar kita untuk memahami dan berasa peka bahawa adalah menjadi satu kesalahan atau biadap jika kita memijak gambar mahupun wajah seseorang.
Tidak ada mana-mana budaya pada mana-mana bangsa pun yang mengizinkan perbuatan seumpama itu dilakukan.
Jadi adalah sesuatu yang tidak kena apabila Ong secara selamba dan rasa tidak bersalah berkata yang dia tidak menyedari bahawa perbuatannya memijak gambar perdana menteri adalah merupakan satu kesalahan undang-undang.
Jika tidak kerana kesalahan dari sudut undang-undang pun memang ia menjadi satu kesalahan dari segi adab, adat dan budaya mana-mana bangsa pun.

Takkanlah itu pun sudah hilang dari ketamadunan manusia...

Sumber :Penulis Kolumnis Mstar.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.










No comments:

Post a Comment