Thursday 20 September 2012

Terima kasih Yang Arif', ucapan selepas bebas.

1_Saladdin menutup muka untuk mengelakkan wajahnya dirakam wartawan.

2_Mohd Faizal (tengah) ketika keluar dari mahkamah.

ALOR SETAR - "Terima kasih Yang Arif," kata dua lelaki setelah mereka dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam daripada tuduhan mengedar dadah kanabis di Kulim, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu setelah mendapati pembelaan tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pengawal keselamatan Saladdin Yusof, 48, dari Georgetown, Pulau Pinang dan peniaga Mohd Faizal Abu Hassan, 30, dari Jelutong, Pulau Pinang sebelum ini dituduh secara bersama mengedar dadar kanabis seberat 8,349 gram di hadapan sebuah bank, Jalan Kelang Lama, Kulim, Kedah.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam pada 22 Ogos 2010. Dakwaan terhadap mereka adalah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952  dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata, dalam pembelaan bersumpah tertuduh ada menyebut kewujudan dua nama iaitu Nazri dan Suri, namun kedua-dua lelaki terbabit tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

Katanya, tertuduh juga ada menyebut penggunaan telefon bimbit Saladdin oleh saksi pendakwaan, namun pendaftaran nombor itu bukan dibuat di atas nama tertuduh pertama itu dan tiada siasatan dibuat di atas penggunaan nombor telefon itu.

Tambahnya, hasil penelitian terhadap latar belakang waktu tidak terdapat keseragaman ketika tertuduh berada di restoran untuk berbuka puasa iaitu sekitar pukul 7.30 malam berbanding kertas pertuduhan yang menyebut masa tangkapan ialah pukul 8.30 malam.

"Masa agak lama selepas berbuka puasa iaitu ketika tertuduh berada di restoran dan masa tangkapan seperti fakta yang diketahui umum iaitu pada pukul 8.30 malam," katanya.

Saladdin yang memakai t-shirt berwarna ungu gelap berjalur putih memeluk ahli keluarga selepas keluar dari mahkamah sementara salah seorang ahli keluarga Mohd Faizal menangis kegembiraan menerima keputusan berkenaan.

Saladdin diwakili peguam S Yaggoo manakala Mohd Faizal diwakili, RSN Rayer sementara pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd Yatim.
Sinar.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment