Tuesday 23 October 2012

Selangor Sedia Panggil Perunding Kanada Jelaskan Tentang Penapis Air Membran. #SaveSelangor


SHAH ALAM, 23 Okt - Kerajaan Selangor sedia memanggil perunding dari Kanada yang dilantik oleh mereka bagi memberi penerangan tepat kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta agensi berkaitan, berhubung teknologi penapisan air membran, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Kita bersedia memanggil perunding dari Kanada untuk memberikan taklimat kepada beliau (Muhyiddin) serta para pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pakar air di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini.

Semalam Muhyiddin berkata cadangan kerajaan negeri untuk menggunakan teknologi penapis air membran adalah tidak praktikal kerana ia tidak dapat menambah bekalan air malah melibatkan kos yang lebih tinggi sehingga mencecah RM3 bilion.

Sehubungan itu, Muhyiddin mahu kerajaan negeri Selangor memberi kelulusan untuk melaksanakan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) untuk menampung keperluan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan yang dijangka meningkat sebanyak 3.5 peratus hingga 4.0 peratus setiap tahun.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata teknologi membran itu tidak mahal dan sangat kompetitif serta telah digunakan oleh beberapa negara di Timur Tengah untuk memproses air laut menjadi air mentah.

Katanya Selangor akan mempunyai bekalan air yang mencukupi tanpa perlu membeli air dari Pahang.

"Penggunaan teknologi penapisan air ini juga mampu menambahkan satu juta meter padu air sehari dengan hanya menggunakan satu per tiga dari kos pembinaan langat 2," katanya.- BERNAMA


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment