Tuesday 25 December 2012

Info Banjir : 11,000 Mangsa terpaksa dipindahkan. #1Malaysia

(Gambar 1) Seorang pekerja resort, Che Ramlah Mat Nasir, 55 

menyelamatkan kerusi dari dihanyutkan setelah kawasan resort itu dilanda 
banjir ekoran hujan lebat di pusat peranginan Cherating, Selasa. 
Meskipun cuti umum sempena perayaan Krismas, namun kawasan pelancongan 
itu lengang dari kunjungan orang ramai berikutan musim tengkujuh yang 
melanda pantai timur kini. -fotoBERNAMA

Mangsa Banjir Di Pantai Timur Kini Hampir 11,000


KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang semakin buruk petang Selasa dengan maklumat terkini menunjukkan lebih 10,800 mangsa dipindahkan berbanding lebih 6,000 mangsa pada sebelah pagi.


Seramai 5,297 mangsa dipindahkan di Terengganu berbanding 2,594 pagi Selasa, dan jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 3,218 berbanding 1,963 pada sebelah pagi, menurut portal rasmi kerajaan negeri masing-masing.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara pula, sejumlah 2,376 mangsa dipindahkan di Pahang berbanding 1,743 pagi tadi, manakala mangsa banjir di Johor kekal 16 orang.
Di TERENGGANU, mangsa banjir di Hulu Terengganu meningkat kepada 1,052 orang petang Selasa manakala Kuala Terengganu menyaksikan pertambahan 91 mangsa kepada 808.
Bilangan mangsa di Besut ialah 1,096 diikuti Dungun (744), Setiu (717), Kemaman (611) dan Marang (269).

(Gambar 2) Anggota Tentera turut membantu membawa penduduk-penduduk
Kampung Gong Duek untuk keluar selepas jalan Pasir akar ditutup kepada semua kenderaan ringan akibat banjir, Selasa. Banjir yang melanda kawasan Hulu Besut
dianggap luar biasa kerana didapati membabitkan kawasan yang sebelum ini belum pernah dinaiki air.

 - fotoBERNAMA
Pusat penempatan banjir yang beroperasi di Terengganu ialah di daerah Besut (16), Dungun (12), Hulu Terengganu (16), Kemaman (13), Kuala Terengganu (lapan), Marang (10) dan Setiu (18).


Sementara itu, Jalan Jerangau-Jabor yang ditutup pagi Selasa dibuka semula kepada semua lalu lintas pada sebelah petang.

Bagaimanapun, Kilometer 13 Jalan Tembila ditutup kepada semua kenderaan ringan kerana ditenggelami air sedalam semeter dan Jalan Penarik-Permaisuri di Kampung Nyatuh juga ditutup kepada kenderaan ringan.

Di KELANTAN, jumlah terbesar mangsa dipindahkan ialah di Pasir Mas iaitu 2,049 diikuti Kuala Krai (355), Kota Baharu (264), Tanah Merah (217), Pasir Puteh (245), Machang (47) dan Tumpat (41).

Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai; Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah; dan Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang masih mencatat bacaan di atas paras bahaya, menurut portal rasmi kerajaan negeri itu.

Setakat petang Selasa, tiada lagi jalan utama di negeri itu ditutup kepada kenderaan dan tiada laporan kemalangan jiwa. Cuaca ketika ini mendung dan diselangi hujan renyai.
Di PAHANG, 2,152 mangsa dipindahkan di Kuantan, Pekan (167) dan Rompin (57).

Beberapa laluan di kawasan Sungai Lembing ditutup kepada lalu lintas bermula Selasa berikutan paras air Sungai Lembing yang semakin meningkat.
Dalam pada itu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara di Pekan berharap mereka bersabar.


(Gambar 3) PRIHATIN…
Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah berkenan membantu menyediakan makanan kepada mangsa banjir ketika melawat Pusat Pemindahan Situasi banjir di Pahang makin membimbangkan dengan pertambahan mangsa banjir di pusat pemindahan berbanding Isnin apabila hujan turun secara berterusan sejak pagi tadi.
 -fotoBERNAMA
Titah baginda, pihak bertanggungjawab kini sedaya upaya membantu mangsa yang terjejas dan meminta mereka tidak menyalahkan pihak berkenaan jika bantuan lewat sampai.

"Saya harap mereka tidak menyalahkan pihak yang datang memberi bantuan... mungkin keadaan jalan yang tidak berapa baik dalam keadaan cuaca hujan begini menyebabkan bantuan sedikit terlewat," titah baginda. - BERNAMA


P/S : Semoga ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Harap semua Mangsa banjir dapat bersabar serta berhati-hati.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment