Tuesday 25 December 2012

Pertubuhan Silat nafi sebar berita palsu rusuhan kaum

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) tidak terbabit  dalam penyebaran berita palsu rusuhan kaum di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Adiwijaya Abdullah berkata, pihaknya tidak pernah campur tangan dalam isu itu dan meletakkan kepercayaan kepada kewibawaan pihak berkuasa menangani kes itu.

Menurutnya, beliau tidak mahu ada pihak cuba mengaitkan PSSGM dengan insiden tersebut dan percaya tiada ahli pertubuhan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pergaduhan itu.

"Bagaimanapun, saya tidak teragak-agak bertindak tegas jika ada ahli terbabit rusuhan di Sungai Petani itu," katanya.

Adiwijaya menasihati ahlinya agar tidak terlibat dalam sebarang penulisan yang tidak bertanggungjawab, termasuk dalam laman sosial kerana boleh menimbulkan keresahan.

Beliau memuji polis dan pihak berkuasa kerana berjaya mengawal ketenteraman awam di Sungai Petani dalam perkara itu.

"Biarlah kes tersebut disiasat polis dan diharap tiada campur tangan pihak luar yang boleh merumitkan lagi keadaan," katanya.

Sementara itu, Adiwijaya memberitahu PSSGM akan mengadakan upacara Penyampaian Sandang kepada Ketua Umno Bahagian Merbok merangkap Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Merbok, Datuk Mohd Tajul Urus Mat Zain, pada 29 Disember ini di Sungai Petani.

Sumber


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment