Wednesday 9 January 2013

ISMA : Kalimah Allah Tidak Boleh Ganti Nama Tuhan Kristian. #kalimahAllah #KL112

ISMA – Pokok perbincangan isu kalimah Allah bukan melibatkan persoalan bolehkah orang bukan Islam menyebut kalimah Allah, akan tetapi berkaitan persoalan bolehkah mereka dibenarkan untuk menamakan tuhan mereka dengan kalimah Allah.

Demikian kenyataan Naib Presiden 2 ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni yang melihat isu ini timbul atas desakan pihak Kristian yang mahu menggunakan kalimah Allah menggantikan nama tuhan mereka dalam kitab Injil Bahasa Melayu.

"Isu besar yang berkait dengan maslahah ummah sebenarnya adalah bolehkah orang Kristian menamakan tuhan mereka dengan Allah? Maknanya dalam Bible mereka ada perkataan God, bolehkah God itu ditukar perkataannya kepada Allah. Dalam Bible mereka ada Jesus, ataupun Indonesia dia sebut Yesus, bolehkah itu ditukar perkataannya kepada Allah?

"Bolehkah tuhan mereka yang triniti tu, ditukar perkataannya kepada Allah? Sebab isu ini sebenarnya adalah merupakan satu isu yang timbul hasil daripada permohonan untuk membenarkan Bible menggunakan Allah menggantikan perkataan tuhan dalam Bible."

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kuliah maghrib tentang isu kalimah Allah di Surau Bangi Perdana Ahad lalu.

Menurutnya, isu pokok ini perlu difahami supaya mana-mana pihak tidak silap membuat kenyataan membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam.

Dalam kuliah tersebut, Ustaz Fauzi menjelaskan dengan terperinci asal-usul nama tuhan orang Kristian dan Allah bukanlah nama tuhan mereka.

Menyentuh kenyataan seorang ahli politik yang membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam berdasarkan dalil ayat Al-Quran, Ustaz Fauzi menolak pandangan tersebut kerana tidak mengikut kaedah bahasa Arab dan tafsir yang betul.

Sebagai contoh dalam Surah Al-Hajj ayat 40, telah disebut perkataan Allah dalam masjid dan rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan Kristian, namun ketika itu agama tersebut masih belum diseleweng.

"Jadi bila kita tengok tafsir itu, dia sama ada akan diterjemahkan berdasarkan kepada pandangan Ibnu Abbas bahawa nama Allah itu hanya disebut di masjid sahaja, ataupun berdasarkan pandangan ahli tafsir lain yang mengatakan nama Allah itu disebut di semua tempat ibadat itu tetapi tempat ibadat yang disebut dalam Al-Quran itu adalah tempat ibadat sebelum berlakunya penyelewengan agama tersebut."

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam perutusan sempena Hari Krismas akhir tahun lalu mendesak kerajaan membenarkan penggunaan kalimah "Allah" dalam kitab Bible berbahasa Melayu sepertimana yang dibenarkan di Malaysia Timur sejak 50 tahun lalu dan telah digunakan ribuan tahun di Timur Tengah.

Ustaz Fauzi menolak hujah Lim Guan Eng dengan berkata, sekalipun ia telah digunakan sekian lama, namun hukum syarak menolaknya, maka perkara itu perlu ditolak.

"Adakah apa yang berlaku di Sabah Sarawak dan Indonesia itu betul lalu kita kata boleh guna? Jawapannya tidak, sebab di sana ada satu kaedah syarak, al-urful fasid la yughaiyiru haqaiqas syar'ie.

"Maknanya uruf yang rosak tidak akan mengubah hakikat syarak yang merupakan suatu yang ditunjukkan di dalam Al-Quran.

"Mana-mana penggunaan, uruf ataupun kebiasaan tetapi kebiasaan yang merosakkan tetap tidak akan mengubah hakikat syarak. Jadi walaupun telah diamalkan selama 10 kurun tetapi kalau syarak kata tak boleh, maka tetap tak boleh," jelasnya.

Katanya lagi, memang benar orang Arab Jahiliyah menggunakan kalimah Allah tetapi penggunaan itu merujuk kepada maksud yang sebenar iaitu zat yang Esa berdasarkan dalil Surah Luqman ayat ke-25.

"Dalam konteks ini, mereka berhujah orang Arab dulu guna kalimah Allah, jadi maknanya kita boleh kias orang Kristian pun boleh menggunakan kalimah Allah.

"Arab dulu dia guna kalimah Allah merujuk kepada zat yang tunggal di dalam penciptaan dan mentadbir alam, tetapi mereka mensyirikkan Allah SWT dari sudut hakimiyah dan perundangan.

"Tetapi orang Kristian bukan begitu, bila dia sebut Jesus nak tukar kepada Allah, bila dia sebut God nak tukar kepada Allah, ataupun Lord nak tukar kepada Allah, dia merujuk kepada tuhan yang memang dari awal lagi adalah merupakan triniti.

"Jadi dia nak namakan yang ini Allah. Maknanya kita tak boleh kias penggunaan orang Arab dengan penggunaan orang Kristian sebab digunakan dalam konteks berbeza."

Ustaz Fauzi yang ditemui wartawan ISMA selepas kuliah tersebut berkata, kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kerana ia merujuk kepada zat yang Esa dan tidak boleh ditafsirkan kepada perkara lain.

"Perkataan Allah itu bukan satu perkataan yang boleh merujuk kepada itu atau ini, tapi telah digunakan oleh orang-orang Islam untuk merujuk kepada zat yang tunggal, yang Esa.

"Jadi tak boleh nak ditafsirkan kepada tafsiran-tafsiran yang lain. Mereka tidak ada hak untuk mengatakan bahawa Allah itu bermaksud sekian sekian."

Beliau juga meminta semua pihak menyokong fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2008 yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

"Memang majlis fatwa ketika membuat fatwa tersebut faham tentang implikasi bila digunakan kalimah Allah untuk menggantikan nama-nama tuhan Kristian, berdasarkan pengalaman yang boleh dilihat di Indonesia, Sabah Sarawak dan seumpamanya.

"Sebab itu pada saya fatwa itu adalah merupakan satu fatwa yang memang sepatutnya kita kena sokong."

Selain Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Mufti Pulau Pinang telah mewartakan 40 perkataan yang tidak boleh digunakan oleh bukan Islam termasuk kalimah Allah, haji dan masjid.

AIDC.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment