Friday 1 February 2013

Sharnaaz akan terus menunggu restu daripada ibu bapa @Shilaamzah untuk kahwin pilihan hatinya.

PETALING JAYA: Aktor Sharnaaz Ahmad akan tetap berpegang pada pendiriannya untuk menjadikan Shila Amzah sebagai isteri walaupun berkemungkinan cinta mereka mendapat halangan keluarga.

Pemilik nama penuh Sharnaaz Basir Ahmad, 28, itu berkata, dia akan terus menunggu respons positif kedua ibu bapa Shila iaitu ND Lala dan Fauziah Sarman dengan penuh sabar dan hormat bagi melaksanakan niat suci itu.

"Saya masih berpegang teguh pada pendirian dan keputusan untuk melamar Shila walaupun tidak dinafikan ia seperti tidak mendapat restu orang tuanya," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Jumaat.

Konflik terbaharu dalam hubungan cinta pasangan artis itu timbul apabila hasrat Sharnaaz untuk memperisterikan Shila ditolak bapa wanita itu, ND Lala.

Lebih memburukkan keadaan apabila usaha Sharnaaz untuk mengendurkan ketegangan menemui jalan buntu apabila ND Lala dikatakan mengelak untuk berkomunikasi dengan aktor itu.

Aktor filem Juvana itu berkata, dia tidak akan berganjak daripada hasrat itu sekalipun ditentang oleh semua pihak.


"Kalau semua orang tak suka (untuk berkahwin), saya tidak peduli sebab yang hendak kahwin adalah saya dan Shila, bukannya saya hendak kahwin dengan semua orang lain.

"Berat dan payah macam mana pun, saya tetap bersabar dan tunggu sehingga keadaan beransur baik, insya-Allah," katanya.

Ditanya adakah dia mendapatkan pandangan orang tuanya berhubung konflik itu, Sharnaaz berkata, ibu bapanya turut berkecil hati dan kecewa dengan situasi tersebut kerana dia dan Shila sudah saling mengenali dan berkawan dengan serius.

"Kalau diikutkan orang tua saya memang sangat kecewa dengan sikap ibu bapa Shila tetapi kami tetap perlukan restu dan 'lampu hijau' mereka kerana ini membabitkan soal kahwin dan bukan perkara kecil.

"Shila ada berpesan sebelum dia terbang ke China agar saya tunggu sehingga dia pulang semula ke Malaysia untuk perkembangan lanjut," katanya yang kini sibuk di lokasi filem Gila Baby arahan Kabir Bhatia.

Mstar.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment