Jumaat, 8 Mac 2013

"Bangsat" @tianchua sedia berdepan tindakan undang-undang dalam isu #LahadDatu @PDRMsia

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Chua Tian Chang berkata beliau tidak akan meminta maaf dan bersedia menghadapi tindakan undang-undang berhubung kenyataannya yang mengaitkan Umno dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Beliau berkata soal meminta maaf seperti yang dituntut Umno tidak timbul.

"Saya rela disaman di mahkamah dan saya akan menjelaskan kenyataan saya kepada mahkamah. Saya akan serah kepada mahkamah untuk membersihkan nama saya kerana saya tidak pernah keluarkan apa-apa kenyataan yang menghina mana-mana pihak," kata Chua yang lebih dikenali sebagai Tian Chua.

Beliau bercakap pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini berkata notis telah dihantar kepada Tian Chua yang juga Anggota Parlimen Batu menuntut supaya beliau dalam tempoh tujuh hari bermula 4 Mac lepas berhenti membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah berkenaan isu tersebut atau sebarang kenyataan yang serupa terhadap Umno.

Tian Chua juga diminta membuat permohonan maaf tidak bersyarat dalam bentuk bertulis dan penarikan balik kenyataan berunsur fitnah tersebut atau kenyataan serupa terhadap Umno.

Tengku Adnan berkata notis itu berkaitan kenyataan Tian Chua yang diterbitkan KeadilanDaily.com pada 1 Mac lepas, bertajuk 'Insiden tembakan di

Lahad Datu konspirasi terancang Umno — Tian' yang mengandungi kata-kata fitnah jahat terhadap Umno.

Sementara itu, PKR Cabang Jerai membuat laporan polis terhadap Tian Chua di Sungai Petani, Kedah.

"Walaupun kami dari parti sama, namun tindakan Tian Chua mengeluarkan kenyataan sedemikian adalah tidak wajar dan kita minta dia disiasat mengikut Akta Hasutan," Naib Ketua I PKR cabang itu, M.Palaniapan memberitahu pemberita kemudian.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Padang Serai Asmadi Abu Talib pula berkata tindakan penceroboh itu telah mengancam keselamatan dan kedaulatan negara, dan kerana itu kenyataan Tian Chua yang mendakwa insiden di Lahad Datu sebagai konspirasi Umno amat dikesali.

"Pucuk pimpinan PKR harus bertanggungjawab sepenuhnya atas kenyataan Tian Chua itu yang seolah-olah menggambarkan nyawa anggota keselamatan yang terkorban tiada nilai," katanya selepas menyertai demonstrasi di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim selepas laporan polis dibuat terhadap Tian Chua.

Peserta demonstrasi hampir 100 orang itu turut membakar gambar dan patung yang mempunyai wajah Tian Chua.

Presiden Pertubuhan Anti Jenayah Bersatu Malaysia Datuk Dr A.Balakrishan menegaskan Anggota Parlimen Batu itu perlu meminta maaf atas kenyataannya yang menyinggung perasaan keluarga anggota keselamatan yang terkorban dan rakyat Malaysia.

"Jangan jadikan ia (isu) politik. Ada kematian…Takkan kita boleh mempermainkan kematian. Anggota (pasukan keselamatan) kita sekarang ini pun sedang bersabung nyawa mempertahankan negara," katanya selepas membuat laporan polis terhadap Tian Chua di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang bersama 20 anggota pertubuhan itu.

Di PENDANG, kira-kira 150 penduduk kampung sekitar Mukim Rambai mengadakan demonstrasi di hadapan Balai Polis Kubur Panjang, mengutuk kenyataan Tian Chua dan membuat laporan polis.

"Kita sebagai manusia yang diberi akal yang waras seharusnya bijak menilai kejadian yang berlaku di Sabah sebenarnya realiti atau lakonan apabila kita kehilangan lapan anggota polis," kata jurucakap kumpulan itu, Che Me Che Mat, 58, kepada Bernama.

Dalam pada itu, lebih 100 anggota Umno Bahagian Bukit Bendera berarak kira-kira 500 meter ke Balai Polis Kampung Bahru, Air Itam dengan menyanyikan lagu 'Barisan Kita' dan membawa sepanduk mengecam tindakan Tian Chua.

"Kita mahu polis ambil tindakan tegas dan segera kerana kenyataan itu berkait dengan keselamatan negara dan mempertikai tugas anggota keselamatan.

"Umno Bukit Bendera juga mahu Tian Chua tampil dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya keluarga anggota polis yang terkorban dalam kejadian di Sabah," kata Ketua Umno bahagian, Abdul Jalil Ariffin.  —

Bernama

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jihad Ekonomi

Jihad Ekonomi
Klik ke FB Jihad Ekonomi

www.Facebook.com/bnselamatkankedah

www.Facebook.com/bnselamatkankedah
SELAMATKAN NEGERI KEDAH [klik Gambar di atas]

http://www.darulamanfm.com/

Berita Pilihan Orang Kedah