Wednesday 27 March 2013

#PRU13: Ada Sebab Mengapa PM @NajibRazak Masih Menunggu

Spekulasi bilakah Parlimen akan dibubarkan datang bersilih ganti, namun Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pengarang Kumpulan The Star Datuk Seri Wong Chun Wai memberi sebab mengapa Perdana Menteri masih menunggu masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

Dalam temu bual bersama, program pilihan raya bagi SwitchUp TV pada Rabu beliau berkata, perkara yang masih belum selesai di Lahad Datu merupakan punca utama Datuk Seri Najib Tun Razak belum mengambil tindakan berkenaan.

"Tiada siapa menjangkakan akan berlaku pencerobohan sedemikian oleh pengganas Filipina.

"Walaupun pasukan polis sedang menjalankan proses pembersihan, kita masih lagi membaca bahawa ada ketikanya berlaku tembakan balas daripada saki baki pengganas," kata Wong dalam program 'GE13:The Showdown' bersama pengacara Anne Edwards.

Beliau berkata dengan beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terjejas oleh pencerobohan yang berlaku, adalah mustahil bagi ahli politik untuk pergi ke sana dan menyampaikan kempen mereka dengan berkesan.

Pada masa yang sama, Wong berkata masih terdapat beberapa lagi program dan dasar yang masih belum diumumkan oleh Najib.

"Najib akan cukup tempoh empat tahun berkhidmat di pejabatnya pada 3 April ini. Beliau merupakan seorang yang sangat metodologikal, beliau suka mengikuti benda dengan cara tertentu, sangat teliti dan beliau berkata akan menyelesaikan semua perkara sebelum pembubaran dilakukan.

"Saya fikir masih ada beberapa benda yang beliau mahu selesaikan dan Najib juga mahu membuat sentuhan terakhir dalam beberapa projek pilihannya.

"Saya juga fikir ada beberapa lagi program untuk diumumkan bagi melengkapkan kad laporan tahun keempat beliau," katanya.

Wong juga berkata senarai calon Barisan Nasional masih belum diselesaikan dan ia boleh jadi satu beban yang cukup besar sebelum Parlimen dibubarkan.

"Saya melihat masih dengan banyak nama dan pembahagian kerusi masih belum diselesaikan. Jika mereka masih belum menyelesaikannya bagaimana pilihan raya mahu diadakan," katanya.

Menurutnya, Pakatan Rakyat juga berhadapan dengan masalah yang sama kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum menyelesaikan isu pemilihan calon dan pertukaran kerusi antara parti komponennya.

Dengan mengambil contoh Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng yang dikatakan menghilangkan diri selepas wujudnya protes selepas beliau masih tidak diberikan kerusi untuk bertanding pada pilihan raya umum kali ini.

Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 yang sedang berlangsung akan berakhir Sabtu ini sementara Sidang Kemuncak Asean akan diadakan di Brunei pada 24 April mungkin juga menjadi sebab pembubaran terpaksa ditangguhkan.

"Jika anda seorang ketua bagi sebuah kerajaan sementara, anda tidak boleh menandatangani perjanjian dengan mana-mana parti," katanya sambil menambah pertahanan merupakan industri yang menelan belanja berbilion ringgit dengan perjanjian yang dibuat.

"Saya juga pasti bahawa Najib mahu menghadiri Sidang Kemuncak Asean sebagai seorang pemimpin yang dipilih rakyat," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata ada kemungkinan Parlimen dibubarkan pada Rabu, kerana masih tidak ada sebarang indikasi ia akan dibubarkan ketika ini.

"Saya rasa perkara ini akan lebih jelas pada minggu-minggu akan datang," katanya.

Parlimen dijangka akan dibubarkan pada minggu hadapan bagi memberi ruang pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Kali terakhir pilihan raya umum diadakan adalah pada 8 Mac 2008

Mstar.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment