Friday 26 April 2013

Baling, Kedah Remaja Cedera Dipanah Petir Bersama Lima Rakan.


Seorang remaja cedera apabila dia dan lima rakannya disambar petir dalam kejadian di sebuah gua di kaki Gunung Pulai berdekatan Kampung Tok Bandar di sini petang Khamis.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang di gua yang dikenali sebagai Gua Ular, Mohd Ashraf Yusof, 17, mengalami kecederaan di kepala sementara lima rakannya yang turut berada di situ kebas seluruh badan.

Ketika kejadian, enam remaja berkenaan berteduh di kawasan itu kerana hujan lebat dan petir. Lima daripada mereka termasuk Mohd Ashraf adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Abu Bakar di sini.

Lima lagi mangsa adalah Mohd Bukhari Ramli, 17, (bukan pelajar) Mohd Azri Ahmad, 17, Mohd Amin Azman, 15, dan Mohd Azam Md Nor, 16 serta adiknya Mohd Nizam, 13.

Mohd Bukhari berkata mereka duduk di atas tanah ketika disambar petir dan masing-masing kebas seluruh badan. "Salah seorang rakan kami melaungkan azan selepas petir kuat berlaku dan kami segera membantu Mohd Ashraf yang rebah dengan seluruh badannya mengeletar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini Khamis.

Mohd Ashraf pengsan selepas kejadian itu. "Saya dan rakan lain berusaha membantu Mohd Ashraf dengan menarik badannya beberapa kali sebelum dia sedar," kata Mohd Azri.

Mereka memapah Mohd Ashraf pulang ke rumahnya yang sejauh 500 meter sebelum penduduk kampung menghantar mereka untuk mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Baling. -BERNAMA

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment