Saturday 27 April 2013

@PDRMsia KL nafi berita tentang penembakan suspek TKP Kastam.


Polis Kuala Lumpur hari ini telah menafikan khabar angin yang mengatakan seorang suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam semalam, telah mati ditembak pagi tadi.

Berita yang tersebar di laman-laman blog di internet itu telah mendakwa dua orang suspek kes pembunuhan itu telah berjaya dikesan, di mana seorang telah ditembak manakala seorang lagi telah melarikan diri.

Dalam satu kiriman teks pesanan ringkas kepada Astro Awani hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah telah menepis khabar angin tersebut.

"Tidak benar. Berita palsu," katanya dalam SMS tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh juga telah mengeluarkan kenyataan menafikan berita tersebut.

"Ekoran daripada kejadian tembak mati Timbalan Ketua Pengarah Kastam di Putrajaya, beberapa berita di internet yang menyatakan suspek kejadian telah berjaya dikesan dan telah ditembak mati manakala rakan suspek berjaya melarikan diri adalah tidak benar sama sekali," kata beliau dalam kenyataan itu.

Mohmad Salleh turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tentang motif pembunuhan kerana ianya masih dalam siasatan awal Polis Kuala Lumpur.

Beliau juga memohon kerjasama mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan, untuk tampil membantu siasatan.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim telah mati ditembak dipercayai oleh dua lelaki bermotosikal sewaktu beliau dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, pagi tadi.

Pegawai ketiga tertinggi dalam Kastam yang mengetuai Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri itu dipercayai diekori oleh dua suspek yang menaiki motosikal lebih kurang pukul 8 pagi di Lebuh Wawasan dari arah Dengkil.

Shaharuddin, 58, rebah di bahu pemandunya selepas suspek berkenaan dipercayai melepaskan tiga das tembakan ke arahnya di persimpangan lampu isyarat Lebuh Sentosa. -AstroAwani

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment