Wednesday 24 April 2013

#PRU13 :Populariti, Usaha @NajibRazak Bantu Calon Baling Raih Sokongan - Azeez #TolakPR #GE13 #Vote4BN


BALING: Populariti dan kerja keras Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak banyak membantu calon-calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Barisan Nasional (BN) di Baling dalam meraih sokongan pengundi muda pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kali ini.

Penyelaras Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abd Rahim berkata beliau sendiri amat terkejut pada mulanya apabila melihat generasi muda sudah mula menyokong kepimpinan Najib dan BN.

"Saya yakin apa yang telah diusahakan oleh beliau (Najib) untuk generasi muda ini sudah mula dirasai, sehinggakan kami hari ini menumpang populariti atau hasil usaha yang telah dilakukannya.

"Calon di Baling, contohnya Harun (Abdul Aziz) di kerusi DUN Kupang, bukanlah calon yang terkenal di sini, namun oleh sebab beliau dalam payung BN, bila turun ke padang, nampak sangat mereka (generasi muda) begitu bersemangat untuk menyokongnya," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya soal calon tidak sangat menjadi isu di Baling kerana populariti Najib, yang juga Pengerusi BN itu sendiri cukup untuk BN memenangi PRU-13 ini.

Namun, Abdul Azeez yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Baling, berkata yang paling penting ialah kerja dan akujanji yang telah dibuat oleh Perdana Menteri, untuk diselaraskan sehingga ke peringkat akar umbi supaya manfaatnya dapat dinikmati.

"Insya-Allah, saya yakin BN mampu menawan semula Kedah berdasarkan kepada trend semasa, kerana saya juga bertanding pada 2008, namun tewas. Kali ini saya diberi peluang kali kedua untuk bertanding.

"Mereka (generasi muda) tampil tanpa meminta habuan. Mereka datang semata-mata untuk melihat perubahan, mereka dahagakann perubahan daripada "hijau" ke "biru"," katanya.
Abdul Azeez berkata generasi muda ini melihat pemerintahan PAS selama lima tahun bermula 2008, tidak mendatangkan perubahan positif kepada negeri Kedah.

"Kita telah beri peluang kepada kerajaan PAS, dan mereka tidak dapat mengurus tadbir dengan baik. Mereka bukan sahaja tidak mampu mentadbir negeri Kedah ini, malah perbalahan antara Menteri Besar dan Exco Kerajaan negeri sendiri tidak dapat diselesaikan," katanya.

Katanya pemerintahan PAS di negeri Kedah tidak menjurus ke arah kebajikan rakyat malah ia akhirnya menghancurkan lagi apa yang ada.Abdul Azeez mengambil contoh aktiviti pembalakan yang tidak dikawal oleh kerajaan negeri Kedah, yang mengakibatkan banjir di beberapa kawasan di Baling.

"Saya masuk di situ (kawasan banjir), mereka sendiri berkata kepada saya," Datuk, cukuplah, kami akan bagi kepada Datuk (Baling) janganlah buat seperti mana orang PAS buat"," katanya sambil menambah anggota PAS sendiri pun sudah serik dengan pemerintahan PAS.

"Kami akan tunaikan janji. Kami ingin menjadi wakil rakyat kepada semua, bukan hanya kepada anggota Umno dan BN sahaja, malah kepada semua penduduk Baling. Jika diizinkan menjadi wakil rakyat, kami akan pastikan kebajikan anggota PAS turut sama diberikan perhatian," katanya.

Pada PRU 2008, BN menang di kerusi DUN Bayu, namun tewas kerusi Parlimen Baling, DUN Kupang dan DUN Kuala Ketil. Pada PRU13, Abdul Azeez dicabar bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Brig Jen (B) Datuk Najmi Ahmad yang mewakili PAS.

Bagi kerusi DUN, DUN Bayu merupakan pertembungan antara calon BN Datuk Azmi Che Husain yang juga penyandang DUN itu dengan Mahmud Yaakob (PAS) manakala di DUN Kupang Harun Abdul Aziz (BN) menentang penyandang Johari Abdullah (PAS).


DUN Kuala Ketil pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) G. Krishnan, penyandang Md Zuki Yusof daripada PAS dan Mohd Khairul Azhar Abdullah (BN). - BERNAMA

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment