Thursday 30 May 2013

Anak Kedah Mendoakan Kesejahteraan Tuanku Abdul Halim #HanyaDikedah.


Sambutan hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 1 Jun ini mempunyai keistimewaan tersendiri bagi anak Kedah yang berbangga kerana sultan mereka menjadi raja Melayu pertama dilantik sebagai ketua negara ini sebanyak dua kali.

Masing-masing yang ditemui Bernama mendoakan kesejahteraan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah agar baginda dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ketua negara dengan adil dan saksama.

Sultan Kedah mencipta sejarah negara apabila baginda sekali lagi ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 11 April 2012. Kali pertama baginda dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ialah pada 1970 untuk tempoh lima tahun.

Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam, Siti Roszaitul Asma Zainal Abidin, 23, berkata sebagai rakyat negeri Kedah, beliau sentiasa mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda supaya dikurniakan nikmat kesihatan yang baik dan terus meneraju takhta negara.

Katanya sebagai ketua negara dan ketua agama Islam, Tuanku Abdul Halim menjadi harapan umat Islam di negara ini untuk memastikan kesucian agama Islam terus terpelihara dan Malaysia kekal menjadi negara Islam contoh.

Hasmizan Yusof, 27, berkata baginda merupakan seorang pemerintah yang disayangi rakyat jelata serta memiliki keperibadian yang tinggi.

"Bukan sahaja rakyat Kedah menyanjungi baginda malah orang luar turut sama memuji keperibadian baginda yang sentiasa turun padang bertemu rakyat dalam apa jua keadaan," katanya.

Rakan karib baginda, Abdul Majid Puteh, 86, yang pernah bersekolah bersama-sama baginda di Kolej Sultan Abdul Hamid di sini pada 1939, berkata sejak kecil Tuanku Abdul Halim sudah mempamerkan keperibadian yang tinggi malah tidak keberatan membasuh sendiri pakaiannya.

"Saya amat kagum dengan Seri Paduka Baginda, seorang anak raja ketika itu, dan bakal menjadi sultan, tapi sanggup berdikari tanpa bantuan dari pihak istana," kata Abdul Majid, yang juga bekas guru.

Menurutnya, apabila baginda menaiki takhta dan menjadi Sultan Kedah pada 14 Julai 1958 susulan kemangkatan ayahanda baginda Sultan Badlishah, hubungan beliau dengan Tuanku Abdul Halim tetap berterusan.

Malah katanya ketika beliau bekerja sebagai guru bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Tunjang dekat sini, Tuanku Abdul Halim beberapa kali mengundang beliau ke istana.

Kenangan paling manis beliau ialah pada 1996, apabila Seri Paduka Baginda mengundang beliau dan isteri Wan Zainab Wan Abdullah, 71, serta lapan anak dan 30 cucu mereka ke Istana Anak Bukit.

Katanya walaupun zaman persekolahan telah lama berlalu, Tuanku Abdul Halim sentiasa mengambil berat perkembangan rakan sekelas dan sering bertanya khabar, malah baginda sanggup mencemar duli menghadiri majlis dan kenduri kahwin di rumah rakan-rakannya.

Dari segi makanan, Tuanku Abdul Halim menggemari kuih popia dan mi yang merupakan menu pilihan baginda pada majlis rasmi negeri di Istana Anak Bukit.

Kuih popia kegemaran baginda merupakan air tangan keluarga Seeni Mohamad Jamal Mohamad, yang mengusahakan perniagaan Popia Mohamad.

Seeni Mohamad, 45, yang merupakan generasi ketiga perniagaan itu, berkata beliau sering menerima tempahan daripada pihak Istana Anak Bukit jika berlangsung majlis yang membabitkan keberangkatan Tuanku Abdul Halim.

Resepi popia ini diwarisi daripada datuk, Kadir Myden, katanya yang sudah 20 tahun menjalankan perniagaan kuih popia di Jalan Tun Razak, di sini.

- BERNAMA

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.















No comments:

Post a Comment