Monday 27 May 2013

"Jangan berlagak hero depan perwakilan PKR @shamsuliskandar dengan mencela presiden kami!" #PAS . #Black505 #blackout505


 
"Jangan berlagak hero depan perwakilan PKR dengan mencela presiden kami!"

Demikian tegas dan keras kenyataan Bendahari Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin terhadap Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Puncanya, Shamsul dalam ucapan di Kongres PKR kelmarin secara lantang telah mengkritik pimpinan Pas terutama presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas tindakan mengeluarkan watikah bertanding kepada calon parti itu yang terbabit isu pertindihan kerusi dengan calon PKR pada pilihan raya lalu.

Khairil Nizam Khirudin
Selain itu, Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil turut 'menegur' Abdul Hadi yang kononnya telah mencerca calon parti sekutu Pas (termasuk PKR) ketika pilihan raya itu.

Khairil Nizam berkata, Shamsul tidak seharusnya membuat kenyataan seumpama itu kerana beliau sendiri tidak faham makna tahaluf siyasi.

"Jangan jadikan tahaluf siyasi dan peluang menghentam Tuan Guru Abdul Hadi sebagai modal untuk berlagak hero di depan perwakilan AMK. Jangan cela Tuan Guru Presiden kami seolah-olah beliau (Abdul Hadi) bercakap mengikut nafsu ketika mengkritik," tegasnya.

Pemimpin muda Pas itu berkata, Shamsul bercakap seolah-olah tahaluf siyasi itu datangnya daripada PKR dan beliau pula mahu mengajar Pas mengenainya sehingga boleh menegur Presiden Pas.

"Jika Shamsul benar-benar 'faqih' (faham) mengenai tahaluf siyasi hingga berasa dirinya layak untuk menegur pemimpin Pas, saya persilakan beliau untuk bawa apa saja kajian oleh PKR dari segi usul dan kaedah fikah atau apa-apa justifikasi yang boleh membuktikan bahawa Pas sudah melanggar prinsip tahaluf siyasi.

"Saya teringin sangat nak tengok," katanya.

Mengikut Islam, tahaluf siyasi merupakan konsep atau perjanjian oleh dua pihak atau lebih untuk menjalin kerjasama menghadapi lawan.

Dalam ucapan dasarnya itu, Shamsul secara lantang menegur pimpinan Pas terutama Abdul Hadi yang dianggap jadi punca PR kalah di kerusi yang terlibat dengan isu pertindihan calon.
Secara keseluruhan, PR kalah di semua tujuh kerusi berkenaan iaitu tiga kerusi di Terengganu (Bukit Besi, Seberang Takir dan Kota Putera), satu di Selangor (Kota Damansara), satu di Pulau Pinang (Sungai Acheh), satu di Johor (Panti), serta satu kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan (Labuan).

Dalam kenyataannya kemudian, Shamsul menggesa Pas mengambil tindakan tegas termasuk memecat ahlinya yang melanggar arahan pimpinan parti dengan bertanding menentang calon PKR.

Bagi Khairil Nizam, Shamsul tidak wajar mengajar Pas apa lagi menegur presidennya kerana beliau sendiri pun tidak faham makna tahaluf siyasi dan syarat-syaratnya.

"Saya jemput Shamsul untuk duduk bersama pada bila-bila masa dan di mana-mana saja untuk kita kaji apa dia tahaluf siyasi dan nilai semula permasalahan yang timbul sepanjang PRU13 dalam konteks tahaluf siyasi," katanya.

Menurutnya, jika melakukan kesilapan, beliau sendiri sedia untuk berdepan dengan media dan mengakui kesilapan itu.

"Soalnya, apakah beliau (Shamsul Iskandar) juga sanggup berbuat demikian? Atau pun dia cuma baling batu, lepas itu terus lari?" katanya. ( sinar )

No comments:

Post a Comment