Wednesday 15 May 2013

Kabinet @NajibRazak semakin mengecil ? #pascaPRU13 #PRU13 #NajibMyPM





Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan senarai barisan Kabinet yang lebih kecil selepas membuat pelarasan dalam pentadbirannya bagi mencerminkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Walaupun pegawai-pegawai dan Perdana Menteri sendiri membisu mengenai saiz Kabinet, wujud spekulasi yang mengatakan Najib akan mengurangkan jumlah 24 kementerian sedia ada.

Saiz Kabinet Persekutuan meningkat daripada 23 kementerian dengan 29 menteri pada 1999 kepada 27 kementerian dengan 33 menteri pada 2004.

Namun pada 2008, saiz Kabinet menyusut sedikit kepada 26 kementerian dan 31 menteri.
Apabila mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2009, Najib membuat pengurangan dalam pentadbirannya apabila melantik 29 menteri dan memotong bilangan kementerian kepada 24.

Difahamkan dalam usaha mencari 'saiz yang betul', sumber dalaman Barisan Nasional (BN) berkata Najib perlu memastikan perwakilan daripada setiap parti komponen utama BN dan daripada negeri-negeri tertentu disenaraikan dalam Kabinetnya.

Pada PRU-13 yang lalu prestasi BN dilihat begitu baik di Kedah, Sabah dan Sarawak.Justeru beberapa pemerhati menjangkakan Najib akan memberi ganjaran kepada negeri-negeri terbabit termasuk mengangkat lebih ramai pemimpin utama mereka.

Selain itu sumber Umno berkata dengan kegagalan BN merampas Kelantan, timbul persoalan sama ada tokoh-tokoh Umno negeri itu akan turut dilantik menganggotai Kabinet ataupun tidak.

Pada masa ini terdapat 11 kekosongan untuk diisi dalam Kabinet baru Najib.Enam anggotanya sebelum ini tidak bertanding pada PRU lalu, seorang beralih kerusi bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala empat yang lain kalah.

Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS), Tan Sri Ramon Navaratnam berkata kedudukan semasa dengan 29 menteri dan 24 kementerian adalah terlalu besar dan perlu dikurangkan.

"Kita memerlukan Kabinet yang lebih kecil dan padat bagi memastikan sistem pentadbiran yang berkesan dapat diwujudkan," katanya.

Berbanding dengan negara-negara lain, bilangan kementerian di Malaysia adalah sama dengan Britain, yang mempunyai 24 jabatan menteri yang diketuai oleh seorang menteri kerajaan.

Beberapa negara-negara serantau mempunyai jumlah kementerian yang kecil seperti Thailand yang mempunyai 19 kementerian manakala Singapura (15).

Sebelum ini Najib berjanji bahawa beliau akan membentuk sebuah kementerian baru bagi menjaga golongan miskin di bandar kerana 60 peratus daripada penduduk negara ini tinggal di kawasan bandar.

Terdapat spekulasi bahawa Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi akan digabungkan semula menjadi satu kementerian manakala Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga akan digabungkan.

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga berkemungkinan akan disusun semula.

Adalah dipercayai bahawa portfolio komunikasi mungkin akan dipindahkan ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi manakala portfolio penerangan boleh dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.

sumber : mstar


No comments:

Post a Comment