Saturday 13 July 2013

Terkini !! Keadaan Azizan Lebih Baik - @MukhrizMahathir #HanyaDiKedah


Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir pada Sabtu menziarah Tan Sri Azizan Abdul Razak di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Beliau yang diiringi Setiausaha Politiknya Datuk Azimi Daim tiba kira-kira 12.55 tengah hari dan meluangkan masa kira-kira 20 minit melihat keadaan bekas menteri besar Kedah itu di Unit Rawatan Rapi.

Mukhriz kemudiannya memberitahu pemberita bahawa Azizan kelihatan semakin pulih dan keadaannya adalah stabil.

"Kali ini saya datang melawat beliau, beliau sedar dan kenal saya dan cuba nak bercakap, walaupun suaranya tak berapa nak keluar.

"Saya rasa ini satu keadaan ataupun perkembangan yang jauh lebih baik daripada waktu saya datang lebih sebulan lepas. Alhamdulillah, nampak keadaannya lebih elok dari dulu," katanya.

Mukhriz berkata beliau turut memberitahu Azizan bahawa pihaknya meneruskan tradisi beliau dengan mengadakan kuliah setiap Sabtu di Seri Mentaloon, iaitu kediaman rasmi menteri Besar.

"Itu yang saya nak laporkan tadi. Tapi oleh kerana suara beliau tak berapa nak keluar...yang saya dapat faham, beliau ucapkan terima kasih atas kunjungan saya hari ini," katanya.

Sementara itu isteri Azizan, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah berkata suaminya berhasrat untuk mengadakan kenduri bagi kakitangan HPP.

"Beliau minta untuk sedekah kenduri lembu bagi pihak hospital. Bulan puasa beliau selalu buat kenduri, jadi beliau minta untuk buat kenduri untuk hospital," katanya.

Faekah berkata keadaan suaminya kini bertambah baik, bagaimanapun proses pemulihan mengambil masa lama dan katanya Azizan menggunakan cara bertulis untuk berkomunikasi.

Azizan, 73, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Limau menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis awal Mei lepas.

Beliau dipindahkan ke HPP pada 8 Mei dari Kedah Medical Centre selepas dirawat kerana jangkitan kuman pada kakinya, dua hari sebelum itu.

Antara kenamaan dan pemimpin yang telah melawat Azizan ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Bashah Md Hanipah dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.


Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah terpaksa melepaskan jawatan menteri besar berikutan kekalahan pembangkang kepada BN di Kedah pada pilihan raya umum ke-13. - BERNAMA

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment