Selasa, 13 Ogos 2013

Kakitangan Insaniah Holding Dapat "Durian Runtuh" . #KUIN #HanyaDiKedah #rakyatnews


Insaniah Holding ditubuhkan semasa pemerintahan Pakatan Rakyat dahulu, Kerajaan BN Kedah sekarang memandang serius dan sedang menilai semula kewajaran Insaniah Holdings Sdn Bhd dan anak-anak syarikatnya dalam usaha kerajaan negeri menyelesaikan masalah Kolej Universiti Insaniah (Kuin).

Wujud kepincangan dalam pengurusan Kuin dan bagi menyelesaikan masalah ini tindakan daripada kerajaan negeri diperlukan.

Laporan siasatan dalaman terhadap urus tadbir Kolej Universiti Insaniah (Kuin) sewaktu di bawah pemerintahan kerajaan Pas Kedah mendedahkan, punca bebanan kewangan Kuin bertambah buruk disebabkan Kuin menubuhkan Insaniah Holdings Sdn. Bhd. (IHSB).

Pada masa sama, IHSB didapati mewujudkan pula lima anak syarikat iaitu Insan Maya Sdn. Bhd., Insan Fasih Sdn. Bhd., Insan System Sdn. Bhd., Insan Hospitality Sdn. Bhd. dan Insan Medic Sdn. Bhd. selain menubuhkan Sekolah Insan Bestari.

Menurut sumber, laporan siasatan itu menyatakan IHSB ditubuhkan secara berskala besar dengan gred jawatan yang diwujudkan terlalu tinggi dan melebihi keperluan 'semula jadi perniagaan'.

"Syarikat berkenaan tidak menjana hasil dan keuntungan selari dengan kekuatan jawatan berkenaan. Tiga jawatan tinggi diwujudkan dalam syarikat itu menerima pembayaran gaji maksimum mencecah RM35,000 sebulan," kata sumber itu kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sumber itu memberitahu, laporan tersebut juga mendedahkan IHSB dan anak syarikatnya tidak mempunyai kecairan mencukupi untuk menampung kos operasi menyebabkan Kuin terpaksa memberi pendahuluan bagi membayar gaji setiap bulan dan menampung sebahagian kos operasi.

Katanya, berdasarkan analisis yang dijalankan, Kuin menyalurkan pendahuluan sebanyak RM13 juta setahun untuk menampung kos emolumen IHSB dan anak-anak syarikat di bawahnya.
"Jumlah terkumpul yang didahulukan oleh Kuin sehingga Mei lalu ialah sebanyak RM39.52 juta dengan punca penyalurannya merupakan pemberian kerajaan negeri kepada kolej universiti tersebut," ujarnya.


Sumber itu menambah, laporan juga mengesan Kuin menyerahkan operasi kuliah kepada empat anak syarikat IHSB menyebabkan berlaku pertindihan fungsi dan peningkatan kos berganda yang terpaksa ditanggung dan diserap kepada Kuin.

"Kuin menyerahkan pungutan yuran pelajar kepada syarikat yang mengendalikan kuliah dengan purata RM4.39 juta setahun.

"Kakitangan akademik dilantik di bawah syarikat yang mengendalikan operasi kuliah dan sebahagian dilantik atas jawatan bukan pengarah tetapi bertanggungjawab sebagai pensyarah di Kuin," katanya.

Menurut sumber itu lagi, laporan berkenaan turut mengesan beberapa masalah lain melibatkan IHSB yang dilihat tidak mempunyai hala tuju perniagaan jelas dan lebih cenderung menjual perkhidmatan kepada Kuin berbanding pasaran atau pelanggan luar.

Antaranya, kata sumber itu, IHSB dan anak syarikatnya mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi dan berlipat kali ganda kepada Kuin sekali gus meningkatkan kos operasi berbanding jika kolej universiti itu mendapatkan perkhidmatan daripada pembekal luar.

"Jumlah terkumpul yang dikenakan oleh IHSB dan anak syarikatnya kepada Kuin yang belum dibuat pembayaran adalah sebanyak RM20.31 juta," ujarnya.

Dalam pada itu, sumber tersebut memberitahu, kerajaan negeri terpaksa menyalurkan peruntukan menerusi pemberian kepada Kuin pada setiap tahun bagi menampung kos operasi kolej universiti berkenaan.

Menurutnya, laporan sama menyatakan bahawa pada 2005 kerajaan negeri hanya menyalurkan peruntukan sebanyak RM5.5 juta namun dengan pengembangan operasi Kuin, jumlah berkenaan meningkat kepada RM17 juta pada tahun ini.

Angka itu dijangka terus meningkat jika kolej universiti tersebut terus bergantung kepada kerajaan negeri.

Katanya, laporan itu mendedahkan, pembinaan Kampus Kuala Ketil mengakibatkan liabiliti kerajaan negeri meningkat sebanyak RM534 juta dan terpaksa menanggung kos bayaran secara tertangguh berjumlah RM44.508 juta setahun.

"Jumlah keseluruhan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri adalah sebanyak RM61.508 juta setahun untuk pembiayaan Kuin," katanya.

-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jihad Ekonomi

Jihad Ekonomi
Klik ke FB Jihad Ekonomi

www.Facebook.com/bnselamatkankedah

www.Facebook.com/bnselamatkankedah
SELAMATKAN NEGERI KEDAH [klik Gambar di atas]

http://www.darulamanfm.com/

Berita Pilihan Orang Kedah