Monday 30 September 2013

Ambil Tindakan Jika Sekolah Tahfiz Guna Pelajar Kutip Derma - Jamil Khir‎ ‎


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta kerajaan negeri yang mempunyai kuasa ke atas sekolah tahfiz mengambil tindakan sewajarnya jika sekolah itu menyalah guna pelajar untuk mengutip derma.

Katanya, perbuatan itu salah di sisi undang-undang dan pengusaha sekolah terbabit harus dikenakan tindakan keras.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat ada peraturan dan akta bagi yang ingin mengutip derma, jadi kalau yang tidak dibenarkan (kutip derma) tidak bolehlah, apatah lagi menggunakan tenaga anak-anak bawah umur memang tidak dibenarkan dan jika buat juga mereka boleh dikenakan tindakan," katanya di sini Isnin.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM1juta kepada Pengerusi Yayasan Ehsan Seputeh Datuk Mustapha Kamal Yussof untuk pembinaan Akademi Tahfiz Darul Abrar, di Jalan Kelang Lama, di sini.
Bantuan kewangan itu ialah inisiatif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Skim Bantuan Badan Bukan Kerajaan kepada institusi pendidikan yang berdaftar di bawah program pembangunan ummah Baitulmal MAIWP.
Sementara itu, mengulas ramalan hujan lebat di tanah suci, Jamil Khir menasihati jemaah Malaysia agar tidak keluar berjalan ketika cuaca buruk.
"Memang banjir di sana tidak seteruk seperti di Malaysia tetapi kalau berlaku hujan di sana (Makkah dan Madinah) dinasihatkan jangan banyak keluar, sebab banyak kawasan licin dan boleh jatuh," katanya.
Saudi Gazette pada Ahad melaporkan Makkah dan Madinah mungkin dilanda hujan lebat ketika musim haji kali ini. - BERNAMA

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

No comments:

Post a Comment