Saturday 5 October 2013

Pemuda Kena Kerja Keras Tawan Sungai Limau - @khairy‎kj #PRKSgLimau #KEDAHAMANMAKMUR


Pergerakan Pemuda Umno perlu bekerja keras untuk menawan pengundi muda di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau bagi memastikan Barisan Nasional (BN) merampas kerusi itu daripada PAS.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Khairy Jamaluddin berkata pengundi muda, yang meliputi kira-kira 11,000 dari 27,222 pengundi di DUN itu, kurang memberi sokongan kepada BN.
"Jumlah ini tidak begitu kecil atau besar namun Pemuda perlu melaksanakan lebih banyak program menyeluruh, termasuk agama, dan membabitkan belia untuk menawan golongan itu," katanya kepada pemberita, Jumaat.
Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan pentadbiran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia kepada Majlis Belia Daerah (MBD) serta Majlis Belia Kedah dan Perlis di sini.
Setiap MBD menerima RM30,000 manakala Majlis Belia Kedah dan Perlis masing-masing menerima RM50,000.
Penamaan calon pilihan raya kecil DUN Sungai Limau ditetapkan pada 23 Oktober manakala tarikh pengundian ialah 4 November selepas penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 September lepas.
Terdahulu, dalam ucapannya, Khairy yang mempertahan jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan 12 Okt ini, berkata beliau yakin perwakilan bijak menilai siapa layak memimpin sayap Umno itu.
"Kita perlukan orang yang ada pengalaman untuk memimpin Pemuda, tidak boleh langgar begitu sahaja, namun saya yakin perwakilan hanya memilih pemimpin terbaik.
"Saya menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan sama ada saya layak atau tidak untuk memimpin Pemuda," katanya.
Turut hadir Ketua Pemuda Umno Kedah Badrolhisham Hashim, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan Negeri Aminuddin Omar. - BERNAMA
‎‎Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

No comments:

Post a Comment