Friday 8 November 2013

Banyak Kes Penyamaran, Persatuan Kerabat Kedah Dibubarkan‎. #KEDAHAMANMAKMUR @rakyatnews


Persatuan Kerabat Kedah Jumaat mengisytiharkan pembubaran persatuan itu berkuat kuasa 26 Sept lepas berikutan pendaftarannya dibatalkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) selepas didapati ada individu menyamar sebagai kerabat bagi mengaut keuntungan.

Syed Idrus Syed Baharom yang merupakan Timbalan Yang Dipertua persatuan itu sebelum dibubarkan berkata hanya 700 ahli berdaftar dengan persatuan tetapi dikesan banyak individu menyamar sebagai kerabat dengan menggunakan lambang kenderaan persatuan itu.
Beliau berkata, selain itu, terdapat juga kes individu menyamar sebagai ahli persatuan bagi mendapatkan tajaan daripada pihak tertentu sebelum mengambil wang yang diterima.
"Kita ada menerima laporan berkenaan isu penggunaan lambang kereta ini di mana ramai yang mengambil kesempatan terhadap lambang ini dengan memohon kewangan kononnya untuk persatuan.
"Perkara ini yang telah menyebabkan persatuan digugurkan (dibatal pendaftaran) oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) tetapi kita akan daftarkan persatuan yang baharu iaitu Persatuan Kerabat Diraja Kedah pada 14 November ini," katanya dalam sidang media di sini Jumaat.
Syed Idrus berkata dengan pembubaran itu penggunaan lambang kenderaan persatuan itu tidak lagi sah.
"Sesiapa yang masih menggunakan lambang kereta persatuan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Pertubuhan 1966 kerana ia salah di sisi undang-undang," katanya.
Beliau berkata apabila persatuan didaftarkan semula nanti, semua ahli perlu mendaftarkan keahlian mereka semula.
Persatuan itu pada asalnya menggunakan nama Persatuan Kerabat Diraja Kedah sejak ditubuhkan pada 1997 namun perkataan Diraja digugurkan pada Julai lalu atas titah Sultan Kedah yang juga Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. -BERNAMA


  • ‎Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

No comments:

Post a Comment