Isnin, 4 November 2013

#PRKSgLimau : Antara Setia Dengan Yang Lama Atau Hijrah Untuk Kemajuan. #BeraniBerubah #KEDAHAMANMAKMUR


Selepas 12 hari parti-parti politik terlibat berkempen, kuasa kini terletak di tangan 27,222 pengundi berdaftar di kawasan itu bagi memilih wakil rakyat yang baharu untuk menggantikan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang meninggal dunia 26 Sept lepas.

Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, yang juga anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai, manakala PAS diwakili Ketua Pemuda Jerai Mohd Azam Samat, 37, yang juga pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam Kedah.

Tampil bersederhana dalam kempen pilihan raya kecil ini selain mengambil mood Awal Muharam Selasa ini, BN memilih slogan "Berani Hijrah" sebagai strategi memancing hati pengundi di kawasan itu.

Selepas memenangi kerusi DUN Sungai Limau (sebelum 2004 dikenali sebagai DUN Sala) dalam lima Pilihan Raya Umum sejak 1995, PAS pula muncul dengan slogan mudah iaitu 'Kekal' yang mencerminkan hasrat jelas mereka untuk terus mewakili penduduk DUN Sungai Limau.

Pilihan raya kecil ini turut dilihat sebagai medan ujian bagi Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Mahfuz Omar yang masing-masing baru dilantik sebagai Menteri Besar Kedah dan Pesuruhjaya PAS Negeri selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lepas.

Calon BN pula dilihat mempunyai strategi tambahan apabila mengumumkan slogan 'SL untuk SL' iaitu Sohaimi Lazim untuk Sungai Limau, yang disifatkannya sepadan dengan slogan yang digunapakai BN.

Tempoh hampir dua minggu berkempen menyaksikan para pemimpin tertinggi kedua-dua parti bertanding tidak jemu-jemu tampil menunjukkan sokongan kepada calon masing-masing.

Selain Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turun membantu kempen parti, calon BN juga mendapat sokongan kuat daripada Mukhriz yang juga Pengerusi BN Negeri.

Pemimpin lain termasuk Ketua Umno Bahagian Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom, naib-naib presiden Umno, ketua-ketua sayap parti serta tidak ketinggalan beberapa pemimpin parti komponen BN seperti MCA dan Gerakan.

Di pihak lawan, Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar terus setia bersama calon parti itu selain kehadiran Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang muncul lewat minggu ini.

Kali ini, kedua-dua parti bertanding juga tidak banyak menggunakan medium ceramah bagi menarik sokongan pengundi, sebaliknya lebih selesa bersemuka dengan masyarakat.

BN dilihat banyak mengadakan aktiviti santai seperti kunjungan dari rumah ke rumah, majlis ramah mesra, sukan rakyat selain mengadakan 'wayang pacak', manakala PAS seperti biasa mengadakan kempen yang berbentuk Islamik termasuk mengadakan tazkirah.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas, Azizan mengekalkan DUN Sungai Limau buat kali kelima dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru termasuk sepupunya Mohd Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN.

Daripada keseluruhan pemilih berdaftar di Sungai Limau, 25,323 orang atau 93 peratus ialah pengundi Melayu, Cina (1,842 orang atau 6.7 peratus), India (15 orang atau 0.6 peratus) dan selebihnya kaum-kaum lain.

Jika BN menang, ia tentunya meletakkan parti itu di kedudukan yang lebih selesa selepas merampas semula Kedah apabila menguasai 21 daripada 36 kerusi DUN pada PRU13.

Sementara bagi PAS, mengekalkan kerusi yang menjadi milik Azizan sejak 1995 itu sudah tentu membuktikan sokongan tidak berbelah bahagi masyarakat setempat terhadap parti itu.

Dalam kenyataannya di permulaan kempen, timbalan perdana menteri berkata kerajaan persekutuan dan negeri akan lebih mudah membawa kemajuan ke Sungai Limau kerana akan wujud hubungan langsung antara wakil rakyat kawasan itu dengan pentadbiran kerajaan BN.

"Walaupun ada pembangkang cakap kemenangan di sini tak ubah apa-apa dari soal pentadbiran negeri, tapi bagi kami pembelaan nasib masyarakat di DUN Sungai Limau itu yang paling utama," kata Muhyiddin.

Pilihan pengundi esok adalah antara setia kepada yang lama atau hijrah untuk menerima kemajuan.

-- BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jihad Ekonomi

Jihad Ekonomi
Klik ke FB Jihad Ekonomi

www.Facebook.com/bnselamatkankedah

www.Facebook.com/bnselamatkankedah
SELAMATKAN NEGERI KEDAH [klik Gambar di atas]

http://www.darulamanfm.com/

Berita Pilihan Orang Kedah