Khamis, 16 Januari 2014

Ibu Bomoh Anak. @inspirasiislami


Saya cuba untuk tidak bersifat menghakimi pada kisah pengakuan minggu ini. Bagi saya kalau kisah rumah tangga, ia adalah asam garam dalam kehidupan dan dilalui semua pasangan yang telah berkahwin. Sikap ibu mentua pula sebolehnya ditangani sebaiknya oleh anak dan menantu itu sendiri tanpa perlu campur tangan pihak lain.(gambar hiasan)

Kisah kali ini dikongsikan oleh Rohaida (bukan nama sebenar) berusia lingkungan 30-an benar-benar membuka mata bahawa masih wujudnya perangai tipikal ibu mentua seakan filem hebat Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee, Ibu Mertuaku dalam zaman ini.

Bagi Rohaida perkongsian ini bukan untuk membuka pekung di dada tetapi lebih kepada kisah kesedaran supaya lebih ramai bakal menantu terutamanya menantu wanita lebih peka akan perubahan yang berlaku kepada rumah tangga mereka.

"Saya mendirikan rumah tangga dengan suami Ashraff (bukan nama sebenar) atas pilihan kami sendiri. Ashraff merupakan anak sulung lelaki daripada empat beradik dan juga merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarganya.

"Perkahwinan kami dikurniakan Allah dengan dua orang cahaya mata lelaki berusia sembilan dan enam tahun. Di awal perkahwinan, kami bahagia walau tidak seperti pasangan romantis lain.

"Pergaduhan suami isteri memang biasa tetapi saya anggap itu semua asam garam. Saya memang tidak pernah menceritakan kepada sesiapapun terutama adik beradik saya dan rakan-rakan kerana saya tidak mahu membuka aib suami di hadapan mereka.

"Saya juga mahukan ahli keluarga saya menghormati suami saya, sebab itu segala masalah rumah tangga saya simpan sendiri dan berdoa rumah tangga saya dipelihara Allah daripada sebarang kemudaratan," cerita Rohaida yang ditemui di sebuah restoran di pinggir Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Mentua kaki shopping


Rohaida yang merupakan seorang pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat pembekal perubatan swasta, turut mempunyai perniagaan sambilan bagi menjana pendapatan keluarga.

Kisah tragis Rohaida bermula apabila ibu mentuanya sering bertandang ke kediaman dia anak beranak dan menganggap segala harta benda dimiliki Rohaida adalah diberi anak lelakinya.

"Saya menganggap ibu mentua seperti ibu sendiri. Malah cuba untuk tidak berkira dengan apa yang saya miliki demi kegembiraan dia. Tidak mengapa jika dia menganggap semua aset yang ada di rumah kami pembelian suami saya walaupun hakikatnya semua dari pendapatan saya sendiri.

"Suami memang membantu tapi dia hanya membayar ansuran rumah dan kenderaan kami. Selebihnya semuanya tanggung jawab saya. Atas dasar ikhlas dan keinginan membantu suami yang telah saya sematkan dalam minda sejak mengambil keputusan berkahwin, maka saya reda.

"Cuma hari demi hari saya dapat merasakan ibu mentua saya bersikap queen control sebolehnya dia mahukan lebih daripada anaknya. Daripada sebulan sekali dia datang ke rumah kami hingga menjadi seminggu sekali. Saya suka juga begitu kerana anak-anak saya juga memang sayangkan nenek mereka tapi ibu mentua saya boleh dikatakan macam berubah perwatakan.

"Kalau dulu dia jarang suka membeli belah, kini saya boleh katakan dia amat suka membeli belah. Cakaplah mana saja pusat membeli belah yang menganjurkan jualan murah atau diskaun ibu pasti akan memujuk anak lelaki tunggalnya menemaninya.

"Saya cuba memujuk diri dengan mengatakan anak memang seharusnya menghiburkan hati ibu. Namun sejauh mana kesabaran saya kalau suami sampai langsung kehabisan duit untuk membayar ansuran rumah dan kereta. Semuanya saya terpaksa sediakan hingga saya terpaksa mengeluarkan simpanan saya untuk menampung segala perbelanjaan wajib," luah Rohaida.


Suami jadi panas baran


Pernah Rohaida mengajak suaminya berbincang tentang pengurusan kewangan keluarga mereka tersebut namun Ashraff naik berang pula.

"Tidak tahu kenapa Ashraff pun berubah sikap, saya cuba berbaik sangka dengan menganggap dia juga tertekan dengan sikap ibunya. Namun sia-sia saja saya beranggapan demikian, rupa-rupakan Ashraff semakin membenci saya dan memang saya fikirkan ia satu perkara yang tidak lojik langsung kerana saya telah dengan ikhlas membantunya dalam perbelanjaan harian keluarga kami. Tidak pernah sekali pun saya mengungkit walau Ashraff memang saya boleh anggap seperti tidak pedulikan kami anak beranak lagi.

"Pernah satu hari ketika saya bertanya kenapa tidak menghubungi saya kerana balik kerja lambat, saya telah ditolak di bahu hingga tubuh saya tercampak ke dinding.

"Ini memang satu peristiwa yang mengejutkan saya kerana Ashraff memang tidak pernah menggunakan kekerasan terhadap saya sebelum ini," cerita Rohaida sambil air mata berlinang di pipinya.

Dalam pada itu, Rohaida mula perasan akan kehilangan beberapa pakaian miliknya tetapi beranggapan dia tersalah letak atau apa saja kelalaian yang berpunca daripada dirinya.

Hinggalah pada satu cuti umum dia sekeluarga pulang ke kampung ibu mertuanya dan terjumpa beberapa helai pakaian dalam miliknya di rumah ibu mentua.

Lebih memusykilkan pakaian tersebut diikat secara berantai dan disorok dalam almari di bilik milik Ashraff ketika bujang dahulu.

"Saya pasti pakaian dalam itu bukan tertinggal kerana sudah lama saya tidak pulang ke kampung dan pakaian dalam itu dibeli selepas kali terakhir saya balik kampung sebelum yang kali ini. Bermakna ada yang membawa pulang pakaian dalam saya ke kampung.

"Tidak saya pasti untuk tujuan apa, mungkin ada yang berminat atau ada tujuan lain. Hinggalah satu petang saya melayari berita di Internet dan terbaca satu artikel tentang sihir pemisah yang melibatkan penggunaan pakaian peribadi, terus fikiran saya menerjah akan perwatakan suami yang semakin panas baran dan dingin terhadap saya.

"Saya memberanikan diri bertanyakan tentang perkara tersebut kepada adik ipar yang agak rapat dengan saya dan akhirnya dia membuka cerita.

"Menurut adik ipar saya memang ibu mentua saya ada menceritakan niatnya untuk memastikan saya tidak curang terhadap anaknya. Ibu mentua bercerita pada anak-anak perempuannya dia khuatir kerjaya saya di sebuah syarikat besar dan kebolehan saya mencari duit sendiri dengan menjahit membuatkan saya lupa diri dan boleh memijak kepala anaknya. Jadi dengan sebab itu maka dia melakukan ikhtiar songsang dengan meminta tolong bomoh untuk tujuan yang kononnya dianggap murni.

"Kini tahulah saya kenapa Ashraff dingin dengan saya, tentu ibu mentua ada membuat spekulasi tentang saya atau mungkin juga sikap ibu mertua yang minta bantuan bomoh itu telah mengundang kekacauan lain dalam rumah tangga saya.

"Sungguh pelik dengan ibu mentua kerana dia seorang yang rajin solat tapi dalam masa yang sama masih membenarkan perkara khurafat dalam diri ahli keluarganya," kata Rohaida lagi.

Kini Rohaida mengambil inisiatif berikhtiar dengan perubatan Islam bagi memastikan segala unsur sihir dalam rumah tangganya ditawarkan.

Bagi Rohaida setiap perubahan drastik pada satu kerukunan rumah tangga bukanlah sesuatu yang biasa dan pasti ada unsur lain yang telah menjadikan ia sebegitu rupa.

"Nasihat saya, jadi seorang yang peka dan minta bantuan daripada mereka yang menjalankan ikhtiar mengikut cara Islam dan bukan bomoh," katanya mengakhiri bicara.

sumber Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jihad Ekonomi

Jihad Ekonomi
Klik ke FB Jihad Ekonomi

www.Facebook.com/bnselamatkankedah

www.Facebook.com/bnselamatkankedah
SELAMATKAN NEGERI KEDAH [klik Gambar di atas]

http://www.darulamanfm.com/

Berita Pilihan Orang Kedah