Tuesday 1 July 2014

Gadai isteri, muflis akibat mesin judi. @UMonline


Ketagihan bermain mesin judi haram mengakibatkan pelbagai masalah sosial berlaku dalam masyarakat sehingga terdapat kaki judi yang sanggup menggadaikan isteri semata-mata mahu melunaskan hutang kepada peminjam wang haram atau ah long. [Gambar Hiasan]


Sumber yang merujuk kepada satu kes di sebuah negeri yang melibatkan kakitangan awam berkata, akibat ketagihan judi lelaki tersebut sanggup meminjam wang daripada ah long mencecah RM40,000.

“Disebabkan tidak mampu melangsaikan hutangnya, lelaki itu sanggup ‘menjual’ isterinya kepada ah long terbabit. Tindakan tidak bertanggungawab individu ini turut menyebabkan penceraiannya,’’ kata sumber itu.

Selain itu, sumber tersebut mendedahkan, tindakan pengusaha mesin judi membenarkan pelanggan mereka melakukan pembayaran melalui kad kredit juga memberi kesan yang amat buruk.

“Pelanggan dibenarkan menggunakan sehingga had maksimum dan kalau mahu ditukarkan kepada wang tunai, komisen akan dikenakan, tetapi yang penting bagi pengusaha , mereka boleh mengaut keuntungan.

“Apabila sudah ketagih bermain, semua wang dihabiskan dan akhirnya kad kredit tidak mampu dibayar sehingga menyebabkan mereka berhadapan risiko muflis,’’ katanya.

Menurut sumber itu lagi, kewujudan puluhan premis judi haram di sesebuah kawasan tidak hanya memfokuskan satu golongan sahaja.

“Sebab itulah, premis kegiatan haram itu bukan lagi sekadar wujud di bandar tetapi juga pekan-pekan kecil,’’ katanya.

Katanya, sasaran pengusaha mesin judi haram melibatkan golongan berkerjaya, orang kampung, remaja dan pelajar.

“Ada golongan berkerjaya sanggup ponteng kerja kerana menghabiskan masa bermain mesin judi manakala pelajar pula menghabiskan wang saku yang diberikan ibu bapa bagi tujuan tidak berfaedah itu.

“Golongan remaja yang menjebakkan diri bermain mesin judi tidak memikirkan masa hadapan sehingga mendorong mereka melakukan jenayah lain seperti meragut dan merompak," katanya.

Tambah sumber itu, terdapat juga kaki judi yang menghabiskan wang bantuan kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Skim Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah di mesin slot. © Utusan Melayu (M) Bhd

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

No comments:

Post a Comment