Tuesday 30 September 2014

#SukanAsia2014 : Malaysia akan rayu kes pingat emas pertamanegara ditarik balik. @501Awani



Kontinjen negara masih belum hilang emas pertama yang diraih menerusi atlet wushu Tai Cheau Xuen dalam kategori gabungan nanquan dan nandao pada Sukan Asia ke-17 di sini.


Ketua kontinjen negara Datuk Daniyal Balagopal Abdullah berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung dakwaan Majlis Olimpik Asia (OCA) bahawa atlet terbabit gagal ujian doping.

Beliau berkata beliau akan mengemukakan rayuan kepada jawatankuasa sementara Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kerana timbul keraguan terhadap ujian air kencing yang dijalankan terhadap atlet berkenaan. "Dari awal kita telah pertikaikan cara sampel itu dikendalikan. Kita akan kemukakan rayuan kepada CAS secepat mungkin, pada hari ini juga. "Saya akan jumpa Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz (ketua pegawai eksekutif institut sukan negara dan pihak Institut Sukan Negara (ISN) dan buat satu rayuan menerusi CAS," katanya.

Menurut Daniyal, terdapat lima sampel atlet termasuk sampel atlet Malaysia yang dibawa bersama dan beliau tidak menafikan sekiranya berlaku kekeliruan atau kesilapan terhadap keputusan ujian yang dibuat. "Ia adalah kelewatan yang terlalu lama bermula dengan sampel diambil hingga diserahkan kepada makmal. 

"Mereka bagi alasan untuk kumpul sekali, baru hendak dibawa ke makmal untuk dibuat ujian. Kita akan merayu. Kita sudah menemuduga atlet terbabit dan kita dapati beliau tidak bersalah," katanya.

OCA hari ini memutuskan untuk menarik balik pingat yang dimenangi Cheau Xuen kerana beliau didapati gagal ujian dadah.

Menurut kenyataan pihak penganjur, ujian sampel air kencingnya yang dilakukan selepas pertandingan pada 20 September mendapati ia mengandungi Sibutramine iaitu bahan terlarang dalam Senarai Larangan Agensi Anti Doping Sedunia (Wada).

Berita @501Awani

No comments:

Post a Comment