Muhammad Anuar yang memperdengarkan Ayat 84 Surah Hud meraih markah 95.33 peratus manakala Hasnae yang membaca Ayat 15 Surah al-Isra' memperoleh 94 peratus.
Kedua-dua mereka menerima hadiah wang tunai RM40,000 setiap seorang selain trofi dan sijil penyertaan.
Sementara itu, qari Iran, Amin Pouya pula menduduki tempat kedua dengan markah 91.67 peratus dan tempat ketiga, dimenangi Raden Harmoko Baharuddin dari Indonesia dengan 90.16 peratus.
Bagi qariah, peserta Indonesia, Rahmawati Bakri Hunawa mendapat tempat kedua dan qariah negara, Che Aminah Che Awang di tempat ketiga. Kedua-dua mereka mencatat perbezaan peratusan markah yang tipis.
Keputusan tilawah diumumkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim Tilawah, Datuk Othman Mustapha yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurut beliau, secara keseluruhannya mutu bacaan peserta kali ini adalah baik dan memuaskan selain mampu memelihara hukum-hukum tajwid.
''Kali ini kita melihat peratusan markah johan, tempat kedua dan ketiga qariah adalah sama. Namun kita rujuk pemarkahan tajwid untuk menentukan kedudukan," katanya ketika membacakan penilaian pertandingan kali ini.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Tahun ini, tilawah yang bertema 'Al-Quran : Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah' menyaksikan penyertaan 71 peserta mewakili 44 buah negara melibatkan 44 qari dan 27 qariah.
Tiga buah negara iaitu Belgium, Ghana dan Tanzania merupakan negara yang pertama kali menghantar penyertaan kali ini dalam tilawah yang berlangsung selama lapan hari bermula 6 Julai lalu.
SUMBER AYT
No comments:
Post a Comment