Friday, 17 August 2012

KHALID GAREJA 'SOUND' NASHARUDIN.

Khalid Samad: Nasharudin kecewa tak dapat jawatan

Khalid Samad

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad menyifatkan gesaan dibuat oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa supaya parti itu keluar dari Pakatan Rakyat (PR) kerana DAP menolak pelaksanaan hudud adalah kerana kekecewaan beliau tidak dapat melihat penggabungan Umno dan Pas.

Malah beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor beranggapan Nasharudin mungkin mengimpikan untuk mendapat jawatan lebih tinggi sekiranya idea penggabungan tersebut berhasil.

"Secara peribadi saya rasa dia sengaja nak timbulkan isu dan saya rasa dia (Nasharudin) memang kecewa apabila Pas tidak mahu bersama dengan Umno maka dia hilang peluang untuk pegang jawatan lebih besar kerana sekiranya ianya terjadi mungkin boleh dapat jawatan di peringkat pusat.

"Mungkin itulah dia (Nasharudin) melihat terlepas dan pada masa sama kecewa kalah dalam pertandingan merebut timbalan presiden lantas menyebabkan dia 'tidak seperti dahulu'," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Nasharudin  sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi  ekoran menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan Umno-Pas sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketika Muktamar Agung Pas tahun lalu, Nasharudin juga gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden dan tewas kepada Mohamad Sabu.

Khalid mendakwa mungkin Nasharudin menunggu masa untuk memaksimumkan impak terhadap Pas dan Pakatan Rakyat (PR) dengan lantang bersuara bila tiba pilihan raya nanti.

Katanya, agak menghairankan kerana pendirian Pas tetap sama dari dahulu, malah ia turut dipersetujui oleh Nasharudin sebelum ini.

"Perkara yang kita lakukan sekarang ini dulu dia (Nasharudin) sendiri pun setuju dan ia bukannya benda baru.

"Yang berubah adalah jawatannya dan lain tetap sama sahaja," katanya.

Khalid berkata, Nasharudin perlu melihat sendiri Umno terlebih dahulu sekiranya mahu Pas keluar PR kerana bukan sahaja DAP malah Umno juga tidak menerima hudud.

Khalid berkata, beliau menolak dakwaan Nasharudin kononnya ahli parti di peringkat bawahan melahirkan kebimbangan kerjasama antara Pas dan DAP terus dijalinkan.

Menurutnya, beliau mempersoalkan bagaimana Nasharudin mendakwa mewakili suara golongan bawahan sedangkan daripada muktamar lalu mereka menyokong parti itu terus bekerjasama dengan DAP.

Dalam perkembangan sama, ketika ditanya sama ada Nasharudin bakal menerima nasib seperti bekas pesuruhjayanya, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dipecat kerana perjuangan tidak selari dengan parti itu, Khalid berkata, Pas bukanlah parti seperti itu dan ia merupakan hak individu.

"Kita bukan parti yang menentukan sama ada nak pecat atau sebaliknya kerana ia terpulang kepada mereka sendiri," katanya

Sinarharian.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment