SEPANG: Pasukan utama misi bantuan kemanusiaan Myanmar Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) diketuai Presiden kelab, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berlepas ke negara itu hari ini.
Pasukan itu yang turut disertai 35 yang lain terdiri daripada sukarelawan pelbagai bangsa dan agama serta petugas media berlepas dari Terminal Tambang Murah (LCCT) di sini kira-kira jam 5 petang tadi.  Menurut Abdul Azeez, Myanmar adalah negara ke-27 yang dikunjungi KP1M dalam misi bantuan kemanusiaan dan ia dianggap antara negara yang sukar untuk dimasuki. 
Bagaimanapun mereka akhirnya mendapat kebenaran masuk selepas dibantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas keakraban hubungan kedua-dua negara, katanya kepada pemberita sebelum berlepas.
Kumpulan itu dilepaskan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Azeez memohon seluruh rakyat Malaysia supaya mendoakan pasukan itu selamat pergi dan balik.
Kira-kira 500 tan metrik bantuan berupa makanan, bahan perubatan dan beberapa keperluan dibawa ke negara itu menggunakan 40 kontena menerusi kapal.
Pada 29 September lalu, seramai 14 sukarelawan berlepas untuk misi itu dan bertindak sebagai pemberi maklumat berhubung ketenteraman, memantau kontena yang membawa barangan serta menjadi perantara kedutaan Malaysia dan kerajaan di sana.
Azeez berkata, misi kemanusiaan KP1M seterusnya adalah ke Syria yang dijangka pada 19 Oktober depan.
Sementara itu, Mohd Ali yang mengucapkan selamat jalan kepada mereka berharap supaya pasukan kemanusiaan itu yang dijangka pulang ke tanah air pada 11 Oktober berjaya mencapai matlamat misi.
Misi kemanusiaan itu turut disertai penyanyi Datuk Irwan Shah Abdullah atau DJ Dave yang mewakili Yayasan Artis 1Malaysia yang kali pertama mengikuti misi bantuan ke luar negara.
"Saya rasa sangat bertuah dapat membantu mereka yang memerlukan," katanya kepada pemberita. - BERNAMA
KK_ Semoga Selamat dan terlaksana misi dengan berjaya.kami sahabat mendoakan rakan seperjuangan selamat pergi dan pulang.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment