Majlis Syura PAS lucut Nasha kerana langgar peraturan
Majlis Syura Pas
mengesahkan telah menggugurkan keanggotaan bekas Timbalan Presiden Pas,
Nasharudin Mat Isa, yang pernah disebut akan diambil tindakan disiplin tahun
lalu, atas alasan telah melanggar beberapa peraturan badan tertinggi parti itu.
Setiausahanya, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata,
keputusan itu dibuat kerana Nasharudin didapati melanggar
peraturan-peraturan berjamaah seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura.
"Keputusan mengenai perkara itu dibuat pada
mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat.
"Antara sebab keputusan itu diambil kerana
beliau (Nasharudin) telah melanggar beberapa peraturan yang ditetapkan parti.
Antaranya tidak hadir mesyuarat, selebihnya saya tidak mahu ulas… maaf ya.
"Surat mengenai perlucutan Nasharuddin sebagai
anggota Majlis Syura sudah diserahkan selepas mesyuarat itu," katanya
ketika dihubungi sumber hari ini.
Ketika ditanya sama ada pihak Majlis Syura ada
menghubungi Nasharudin selepas keputusan itu dibuat, Nik Zawawi berkata,
pihaknya tidak ada menghubungi Ahli Parlimen Bachok itu.
"Beliau juga tidak ada menghubungi kami untuk
penjelasan lanjut.
"Dengan keputusan ini, anggota Majlis Syura
berharap beliau akan istiqamah dan menumpukan perhatian dalam perjuangan parti.
Sumbangan beliau masih diperlukan dan diharapkan beliau dapat beri manfaat
kepada parti," katanya lagi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai tindakan
Nasharudin yang mengikuti rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
untuk lawatan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza baru-baru ini, Nik Zawawi
berkata, itu merupakan tindakan peribadi Nasharudin.
"Itu terpulanglah kepada dia (Nasharudin), itu
tindakan peribadinya sendiri."
Pada September lalu, Nasharudin dan Majlis Syura
dilaporkan menjadi tumpuan dengan membincangkan nasib bekas Timbalan Presiden
Pas itu.
Bagaimanapun mesyuarat 9 September itu bersidang
tanpa membincangkan isu berkaitan dengan Nasharudin.
Seperti diramalkan pemerhati dan kebanyakan pemimpin
kanan parti ketika itu, beliau 'selamat' daripada sebarang tindakan berat.
Ketika itu, Nasharudin menjadi tumpuan ekoran
gesaan beliau agar Pas mempertimbang semula keanggotaan dan kerjasama dalam
Pakatan Rakyat berikutan pendirian Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dalam
isu hudud.
No comments:
Post a Comment