Wednesday 13 March 2013

Update #LahadDatu: Pengganas yang juga penceroboh Lahad Datu masih lagi bersembunyi di Kg Tanjung Karang. #Pray4Sabah @PDRMsia.

Dua anggota tentera mengawal ketat dihadapan wad pengasingan di Hospital Lahad Datu
 yang menempatkan anggota yang cedera dalam pertempuran di Sungai Nyamuk

Azzimudie Kiram Masih Bersembunyi di Kg Tanjung Batu

LAHAD DATU: Pasukan keselamatan yakin ketua kumpulan militan yang menceroboh Lahad Datu, Azzimudie Kiram masih berada dengan kumpulan itu yang kini berkubu di Kampung Tanjung Batu, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib yakin Azzimudie tidak pernah keluar dari kawasan berkenaan sejak pencerobohan pada 12 Februari lepas."Sebagai ketua dia tidak akan lari. Kami masih yakin dia bersama kumpulan itu," katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di markas operasi Felda Sahabat 16, dekat sini, Rabu.

Hamza berkata keyakinan itu bersandarkan kawalan ketat pasukan keselamatan di kawasan zon merah Operasi Daulat termasuk melalui laut kerana kawalan di laut adalah amat kukuh dan pemantauan sentiasa dijalankan.

Selepas sembilan hari Operasi Daulat, pasukan keselamatan menembak mati 56 musuh dan 25 daripada mayat penceroboh militan itu telah dibawa keluar dari zon merah. Seramai 156 orang ditahan kerana berada di zon merah operasimanakala 97 individu ditahan untuk siasatan kerana disyaki terlibat dengan pengganas mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan dibaca bersama Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan, kata Hamza.

Sehingga kini 10 anggota pasukan keselamatan terkorban iaitu lapan anggota polis dan dua tentera. Seorang daripada anggota tentera itu terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Km 37 Jalan Lahad Datu-Kampung Tungku.

Hamza berkata tiada pertempuran dilapor sejak malam tadi hingga pukul 10 pagi ini dan operasi kini diperluas ke Sungai Nyamuk berhampiran Tanjung Batu.

Ditanya bila penduduk Kampung Tanduo akan pulang ke kampung mereka, beliau berkata perkara itu belum diputuskan kerana terdapat beberapa faktor perlu diteliti. "Hanya ada 10 rumah di situ. Banyak aspek perlu dipertimbangkan termasuk sama ada tanah mereka duduki adalah milik mereka atau tidak dan taraf kerakyatan mereka. "Pewujudan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM) juga (menyebabkan) kami harus melihat secara lebih menyeluruh bagaimana untuk menyelesaikan masalah itu," katanya.

Mengenai kemalangan yang menyebabkan seorang anggota tentera terbunuh, Hamza berkata kenderaan tentera tiga tan itu yang menyertai konvoi dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu untuk Operasi Daulat terbabas di Km 37 Jalan Lahad Datu-Kampung Tungku pada 7.30 pagi, Selasa.

Kejadian menyebabkan pengiring kenderaan iaitu Kpl Ahmad Farhan Ruslan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan itu cedera.

-BERNAMA

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment