Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan senarai barisan Kabinet
yang lebih kecil selepas membuat pelarasan dalam pentadbirannya bagi
mencerminkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.
Walaupun pegawai-pegawai dan Perdana
Menteri sendiri membisu mengenai saiz Kabinet, wujud spekulasi yang mengatakan
Najib akan mengurangkan jumlah 24 kementerian sedia ada.
Saiz Kabinet Persekutuan meningkat daripada
23 kementerian dengan 29 menteri pada 1999 kepada 27 kementerian dengan 33
menteri pada 2004.
Namun pada 2008, saiz Kabinet menyusut
sedikit kepada 26 kementerian dan 31 menteri.
Apabila mengambil alih jawatan Perdana
Menteri pada 2009, Najib membuat pengurangan dalam pentadbirannya apabila melantik
29 menteri dan memotong bilangan kementerian kepada 24.
Difahamkan dalam usaha mencari 'saiz yang
betul', sumber dalaman Barisan Nasional (BN) berkata Najib perlu memastikan
perwakilan daripada setiap parti komponen utama BN dan daripada negeri-negeri
tertentu disenaraikan dalam Kabinetnya.
Pada PRU-13 yang lalu prestasi BN dilihat
begitu baik di Kedah, Sabah dan Sarawak.Justeru beberapa pemerhati menjangkakan
Najib akan memberi ganjaran kepada negeri-negeri terbabit termasuk mengangkat
lebih ramai pemimpin utama mereka.
Selain itu sumber Umno berkata dengan
kegagalan BN merampas Kelantan, timbul persoalan sama ada tokoh-tokoh Umno
negeri itu akan turut dilantik menganggotai Kabinet ataupun tidak.
Pada masa ini terdapat 11 kekosongan untuk
diisi dalam Kabinet baru Najib.Enam anggotanya sebelum ini tidak
bertanding pada PRU lalu, seorang beralih kerusi bertanding di kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) manakala empat yang lain kalah.
Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS),
Tan Sri Ramon Navaratnam berkata kedudukan semasa dengan 29 menteri dan 24
kementerian adalah terlalu besar dan perlu dikurangkan.
"Kita memerlukan Kabinet yang lebih
kecil dan padat bagi memastikan sistem pentadbiran yang berkesan dapat
diwujudkan," katanya.
Berbanding dengan negara-negara lain,
bilangan kementerian di Malaysia adalah sama dengan Britain, yang mempunyai 24
jabatan menteri yang diketuai oleh seorang menteri kerajaan.
Beberapa negara-negara serantau mempunyai
jumlah kementerian yang kecil seperti Thailand yang mempunyai 19 kementerian
manakala Singapura (15).
Sebelum ini Najib berjanji bahawa beliau
akan membentuk sebuah kementerian baru bagi menjaga golongan miskin di bandar
kerana 60 peratus daripada penduduk negara ini tinggal di kawasan bandar.
Terdapat spekulasi bahawa Kementerian
Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi akan digabungkan semula menjadi satu
kementerian manakala Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah serta
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga akan digabungkan.
Kementerian Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga
berkemungkinan akan disusun semula.
Adalah dipercayai bahawa portfolio
komunikasi mungkin akan dipindahkan ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
manakala portfolio penerangan boleh dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.
sumber : mstar
No comments:
Post a Comment