Aku Dan Ustaz
Azizan: Catatan Kehilangan
Aku menemani Ustaz Azizan di KMC setelah
beberapa hari tak bertemu kerana urusan kempen pilihanraya. Beberapa kali
dia berpesan kepada rakan-rakan untuk menghubungi aku yang agak sibuk
melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengarah MTD DUN Jeneri (aku adalah Timbalan
Pengarah 1 sebelumnya, terpaksa memangku pengarah yang dilantik sebagai wakil
calon). Kami hanya berhubung melalui telefon. Dia foward beberapa sms dan
nombor telefon yang memaki hamunnya sebelum dan selepas calon-calon
dimuktamadkan. Aku ber istighfar dan meminta dia terus bersabar. Dia
sudah buat yang terbaik untuk negeri, rakyat Kedah dan parti. Tak ada apa perlu
dikesalkan.
Beberapa kali dia merungut... "Depa
tak mau dengar cakap kita dah. Susunan dan cadangan kita diredah tanpa merujuk
kepada kita lagi. Semua orang boleh membuat keputusan untuk PAS Kedah. Kita di
Perhubungan Negeri sudah tak ada kuasa apa- apa. Pesuruhjaya ada ramai di Kedah
ni". Saya hanya mendengar dan menyelami keresahannya. Seorang Pesuruhjaya
tanpa kuasa di saat keputusan-keputusan besar perlu dilakukan.
Ramai orang lama PAS Kedah datang dengan
rombongan mereka dari kawasan -kawasan untuk memohon dikekalkan atau
diganti calon-calon tertentu dengan alasan yang tersendiri, Ustaz Azizan sudah
letih melayani. Katanya" Hampa kata hampa, yang aku cadang pun depa buang,
depa langgaq ikut suka depa, nak suruh aku pertahan hak hampa cadang lagu mana.
Hampa pi lah ke pejabat agong, aku sudah tak buleh buat apa-apa."
Setelah keputusan PRU diumumkan, barulah
saya berkesempatan bertemu dengannya, itupun dia sudah di KMC, mengadu sakit
kaki dan demam. Kali pertama mengunjunginya pada Isnin, dia sedang menjalani
prosedur rawatan di ICU, saya pulang jam 6 petang, setelah menunggu 2 jam.
Salur darah di kakinya tersumbat.
Esoknya, saya dimaklumkan oleh anaknya
Mohamad Rafie, ayahnya mungkin dirujuk ke IJN dengan kondisi kesihatannya yang
tidak didedahkan. Saya masuk menemui Azizan di ICU KMC jam 2 petang, dia
mengalirkan air mata setelah saya mencium tangannya yang sedang terbaring. Saya
tak mampu menahan lelehan airmata yang makin laju. "Sik macam mana dah?
Aku tau hang pulun nak bagi menang jugak, tapi ni semua takdir Allah. Kita
terlepas satu beban yang sangat besar. Hang bayangkan kalau kita menang, dan
aku ada dalam wad, tentu kacau bilau lebih besaq daripada awal 2012 hari
tu". "Tak pa lah Ustaz, tok sah dok pikiaq pasai politik lagi, kita
berubat bagi lega dulu". Aku jawab perlahan memujuknya.
"Kaki aku kebas, tak rasa apa-apa.
Hang angkat aku sat, aku nak pi bilik ayaq". Sejak beberapa bulan
terakhir, terutama ketika dia mengadu tentang calon-calon PAS Kedah,
tekanan dalaman parti, sikap rakan-rakan parti, caci maki melalui SMS yang
diterimanya, saya sering sebak dan buntu. Apa lagi yang tak kena, apa salah aku
apa dosa kita... Dia merungut. Tak ada siapa mai habaq dosa apa yang aku buat,
main hentam jauh- jauh saja. Mai lah cakap depan aku, apa salah aku. La ni
semua pi panjat tangga Pejabat Agong, kita di negeri dah tak laku. Biaq depa
jawablah.
Beberapa kali dia menyatakan pada waktu
ini PAS memiliki terlalu ramai pencatur politik ( munawarah al-siasiyah) dan
kita ketandusan Al-Murabituun dalam jemaah. Saya hanya mendengar dan
membayangkan masa depan parti yang kian mencabar. "Hang talipon bagitau
Cikgu Pa, tanya dia aku nak lepas jawatan Pesuruhjaya, minta pandangan dia, nak
letak la ni ka atau lepas muktamar"?
MB Kedah yang baru, Dato' Mukhriz sampai
jam 3.00 petang. Saya melihat dan mendengar perbualan mereka, seperti seorang
bapa bercakap dengan anaknya, tapi penuh hormat dan sopan. Ustaz Azizan
meminta dua perkara untuk diberi perhatian atas kerja kerasnya selama 5
tahun, diteruskan. " Saya nak minta tolong pada Dato' dua perkara, pertama
tentang KUIN dan kedua tolong teruskan pembinaan Ma'ahad Tahfiz Sains Pulau
Tuba. Semua bajet untuk itu sudah diluluskan". Dia masih sempat
bergurau tentang beberapa perkara. Sewaktu melangkah keluar dari bilik, MB
Kedah itu bersalam dengan aku dan berpesan. "Jaga Ustaz elok-elok".
Saya mengiringi Azizan ke General
Hospital Pulau Pinang jam 3.30 petang hari selasa 7 Mei 2013. Bersama saya
anaknya Mohamad Rafie dan rakan lamanya Saudara Mazlan. Sampai sana jam 5
petang, terus ke unit kecemasan. Azizan masih sedar dan berbual. Dia berpesan
beberapa kali supaya terus bekerja memajukan PAS. Dia masih bertanya beberapa
orang calon yang menang dan yang tewas, termasuk Ustaz Afnan Hamimi Taib
Azamuddin di Kepala Batas.
Dia haus dan dahaga. Saya meminta cawan
dan straw, dia minum beberapa kali. Dia menjadi cemas dan memanggil saya
apabila doktor memaklumkan kakinya tidak dapat diselamatkan lagi. Dia berpesan
beberapa kali, "Hang jangan bagi depa potong kaki aku". Saya berjanji
akan mencari ikhtiar lain. "Jom kita balik, naik kereta pun tak pa
lah". Katanya beberapa kali.
Jam 7.30 malam, Ustaz Ali dari Alor
Setar telah menunggu di Bukit Minyak, Bukit Mertajam. Ada seorang pakar yang
merawat kesan diabetis yang lebih parah, tak perlu di potong. Saya bercadang
membawanya ke sana. Ustaz Ali pernah dirawat di situ. Saya menghubungi ambulan
daripada St John Ambulan, untuk membawa dia keluar, atas alasan nak pulang ke
KMC, tetapi nak singgah di Bukit Minyak. Ambulan yang lengkap dengan alat
bantuan pernafasan hanya boleh datang jam 8.30, saya menunggu tidak sabar lagi.
Saya keluarkan wang di mesin RM3 ribu untuk kos ambulan dan rawatannya di Bukit
Minyak.
Doktor tidak membenarkan saya mengambil
risiko besar untuk membawanya keluar kerana takanan jantungnya tidak stabil.
Beberapa kali saya berbincang dengan Tok Puan Faekah untuk mengambil risiko
itu, tetapi kondisi terakhir Ustaz Azizan tidak membolehkan kami membawanya
keluar. Kena tunggu jantungnya stabil baru kita bawa dia keluar. Saya dan
Tok Puan Faekah (saya panggil Kak) akur.
Saya mengambil beberapa keping gambar
bahagian kaki Ustaz Azizan dan memecut bersama Mazlan ke Bukit Minyak. Doktor
Kumar memberi keyakinan bahawa keadaan seperti itu masih boleh dirawat tanpa
pemotongan. Hanya bahagian hujung jari ibu kakinya perlu dibuang. "As long
he still conciuos and you can bring him here, his leg can be safe, no
need to cut it off". Dia menunjukkan beberapa gambar dalam
simpanannya yang lebih parah, kaki yang hitam, isi yang tumbuh kembali selepas
rawatan di situ. Saya dan Mazlan lega dan gembira. Saya sudah temui penyelesaian
alternaif, amanah Ustaz akan tertunai. Saya membuat temujanji untuk membawa
Ustaz Azizan ke klinik itu seawal mungkin, sebaik sahaja dia membuka kliniknya
jam 2.00 petang.
Saya kembali kepada Ustaz Azizan,
memberi keyakinan kepadanya bahawa kakinya boleh diselamatkan. Dia tersenyum.
"Jom kita pi la ni". Dia cuba bangun. Saya dan Kak Faekah menerangkan
nasihat doktor yang sedang menstabilkan jantungnya. "Kita pi esok jam 2.00
petang. Ustaz tidoq dulu bagi jantung stabil, jam 12.00 tengahari esok saya
akan mai dan bawa Ustaz keluar. Ambulan saya sudah panggil, depa dah ready
untuk esok."
"Kalau macam tu, hang balik lah
dulu, aku nak tidoq, kita jumpa esok". Kata Ustaz Azizan. Saya menunggu
hingga semua anak menantunya datang. Mereka masih berbual dengan Ustaz Azizan,
dan dipesan macam-macam perkara sewaktu saya bergerak pulang untuk mengambil
pakaian. Jam 3 pagi saya sampai di rumah.
Jam 5.30 pagi, Kak Faekah menelefon tiga
kali memaklumkan Ustaz tenat dan koma. Saya bertanya beberapa kali, betulkah
berita ni, sapa yang bagitau Kak? Ahmad (anak Ustaz Azizan yang menunggu di
wad) yang telepon bagitau, Kak dok bersiap nak pi la ni. Jawab Kak Faekah.
"Ahmad tau ka tenat ka nazak tu macam mana, dia reti ka Kak?" Doktor
yang bagitau dia.... Mendengar itu saya bingkas mencapai seluar, bergegas
ke Pulau Pinang dengan Mazlan dan Shahril Rizal, bekas pengiring Ustaz yang
diarahkan kembali melapor diri ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah. Dia tidak
diperlukan lagi di Pejabat Menteri Besar kerana sudah ada yang bersiap
menggantikannya. Katanya dari Bukit Aman.
Saya masih berdoa Ustaz akan sedar dan
mampu dibawa keluar jam 12 tengahari nanti. Di wad CCU, ustaz sedang dibantu
dengan alat bantuan pernafasan, lebam hitam di kaki kanannya sudah melarat ke
sebelah kiri, melepasi lututnya, terlalu pantas dan luar biasa. Kakinya sejuk.
Dia bernafas menerusi mulutnya saja. Saya terus berdoa, membaca Yaasin
dan membisikkan talqin. Dia seperti mendengar dan mengajuk. Kelopak
matanya berkedip-kedip.
Saya memaklumkan kepada pimpinan dan
kawan-kawan dalam PAS Kedah kondisi semasa Ustaz Azizan. Jam 10.30 pagi
panggilan mula masuk meminta pengesahan, benarkah Ustaz Azizan sudah tiada? Ada
sebaran sms dan tulisan di blog ke seluruh negara bahawa ustaz sudah meninggal.
Dari jam 10.30 hingga jam 1.00, telefon saya tidak berhenti berdering, saling
bertindih panggilan yang masuk. Jawapan saya ringkas dan cepat. "Ustaz
masih hidup, tetapi sedang koma, berita kematian itu palsu".
Jam 2.00 saya ke surau, solat Zohor
dalam fikiran yang bercelaru. Ustaz tak dapat di bawa ke Bukit Minyak, walaupun
semua persiapan telah dibuat. Berita palsu ini pula sengaja dimainkan. Saya
membayangkan perasaan anak-anak dan isteri-isterinya. Saya solat dengan En
Zahari, Pegawai Daerah Yan. Dia mendahului saya saya satu rakaat. Saya masukkan
handphone yang hampir habis bateri itu ke dalam beg sandang, sesudah berwuduk.
Saya sandarkan beg itu di tiang di belakang saf saya, dan memulakan solat jamak
dan qasar.
Saya berpaling ke belakang sesudah
berdoa. Beg sudah tiada. Saya meraba poket, alhamdulillah, dompet yang tidak
berduit masih ada, semua duit ada dalam beg, termasuk bekalan yang saya siapkan
untuk ambulan dan rawatan di Bukit Minyak. Saya buntu dan mati kutu. Handphone
saya ada dalam beg itu. Saya mengingati apa lagi yang ada. Aduhhh! iPad,
pendrive, charger, parfume, pisau belati, buku cek, bil-bil, dan banyak lagi.
Saya memaklumkan kepada Ustaz Hafiz
Nordin yang kebetulan ada di situ, dia cuba mendail nombor saya, tiada jawapan.
Dia memanggil kawannya di syarikat telekomunikasi untuk menamatkan talian saya,
semua urusan itu selesai di tanggnya.
Saya ke hulu ke hilir, mencari dalam
tong sampah, belakang surau, dalam longkang dan tempat-tempat tersembunyi.
Tiada!
Hingga malam itu, saya tidak dapat
update keadaan semasa Astaz Azizan. Ada sedikit masa terluang, saya ke maxis,
ambil simcard baru dan sain kontrak baru untuk dapatkan telefon yang lebih
murah.
Saya update di facebook tentang
kehilangan itu, ramai yang simpati dan berdoa. Sejak hilang pada hari Rabu,
saya tak terfikirkan apa-apa tentang beg itu. Duit dan semua isi beg sudah
ditakdirkan menjadi rezeki pencuri. Saya berdoa supaya dia memulangkan apa yang
dia tidak perlukan. Saya halalkan apa yang sudah diambil dan dibelanjakan.
Kalau dipulangkan handphone dan iPad saya itupun sudah satu rahmat besar buat
saya.
Ketika membawa dua anak kecil ustaz ke
Chowrasta membeli pakaian dan keperluan diri, saya menerima panggilan daripada
seorang wanita. "Adakah encik kehilangan iPad?" Ya! Saya
menjawab." Saya terkedu, seperti tak percaya bila mendengar beg saya ada
padanya. Saya menunggu di Balai Polis Lebuh Keramat, hingga dia datang bersama
ibunya. " Panjang ceritanya Encik, adakah encik mahu report polis kes
ini?" Saya kata tak perlulah, asalkan saya dapat balik iPad saya.
Saya belanja mereka minum. Beg itu
dicuri oleh seorang pemuda penagih dadah, seorang anak muda 27 tahun yang
dipelihara oleh ibu tirinya. Ayahnya berkahwin dua, isteri pertama ayahnya
memelihara dua anak angkat dengan penuh kasih sayang, tetapi menjadi penagih
dadah. Ibu peliharaanya itu jatuh sakit dan tak mampu lagi mengawal anak
belanya itu. Dia anak isteri kedua ayahnya, tetapi sesekali dikunjungi oleh
'abangnya' itu meminta wang atau menumpang tidur. Pada tengahari hari
rabu, 'abangnya' datang meninggalkan sebuah beg berwarna coklat, katanya beg
itu milik kawannya.
Dia kurang percaya dan mula memeriksa
beg itu, dia menelefon saya dengan maklumat yang diperolehi dari iPad saya.
Handphone dan wang tunai sudah lesap, tetapi saya tetap bersyukur. Saya
menghubungi ibu pemuda itu yang sedang sakit, nombor telepon saya ambil dari
anak tirinya. Saya memaklumkan hal anaknya mencuri beg dan saya sudah
mendapatkannya semula. Saya ucapkan terima kasih dan memberi sedikit nasihat.
Saya ingin bertemu Mohd Nasrul Bin Daud!
Saya pulang ke rumah selepas 5 hari di
Penang. Anak saya demam dan isteri saya masih di klinik, sakit perut. Ustaz
Azizan masih terlantar, anak-anaknya, isteri-isterinya saya sudah aturkan
penempatan dan pergerakan mereka. Moga semuanya bersabar. Kita jumpa esok!
KK cuma nak pesan jer..Takdir Allah,
terimalah seadanya. Allah sebaik-baik perancang. Dia lebih mengetahui apa yang terbaik
untuk kita semua. Sifat orang yang BERIMAN adalah tenang menghapai setiap dugaan dan Cabaran. Tenang itu
tanda orang yang beriman yang redha dengan segala ketentuan. so..orang PAS jangan jadi "Pencacai DAP dan PKR".
No comments:
Post a Comment