Sekumpulan anggota kariah Masjid Teluk Kumbar dan Masjid Sungai Batu mengadakan bantahan berhubung kewujudan lebih 10 premis perjudian yang dipercayai beroperasi secara haram di Kampung Teluk Kumbar, di sini hari ini.
Bantahan itu bermula pukul 3 petang dengan anggota kumpulan berjalan dari premis ke premis dan melekatkan poster bantahan pada pintu premis perjudian yang kebanyakannya beroperasi pada waktu malam.
Penganjur bantahan Rushdi Abdul Majid mendakwa kedai perjudian tanpa lesen itu tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa.
"Kami ada hantar surat kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang seminggu lepas tapi sampai hari ini tiada tindakan diambil," katanya kepada pemberita di lokasi demonstrasi.
Katanya kerajaan negeri sepatutnya lebih peka dengan perkembangan itu yang boleh menggugat kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan kedudukan sosioekonomi.
Dalam pada itu, perhimpunan berkenaan bertukar kecoh seketika apabila dua individu bertindak memecah masuk dan merosakkan mesin judi yang terdapat di dalam beberapa premis.
Mengulas kejadian, Rushdi mendakwa dua lelaki berkenaan bukan penduduk di situ dan beliau tidak mengenali mereka.
"Tindakan mereka di luar kawalan dan agak agresif dan kami berasa kesal kerana ia berlangsung bukan seperti yang dirancang," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Lai Fah Hin ketika dihubungi berkata beliau telah mengarahkan anggotanya melakukan siasatan di lokasi kejadian dan mendapati suspek telah menghilangkan diri.
"Setakat ini kita masih tidak menerima laporan dari pemilik premis dan siasatan sedang dijalankan," katanya. - BERNAMA
KK: Pilihan ditangan rakyat P.Pinang untuk merubah..
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment