Saturday, 7 December 2013

Mahasiswa Timur Tengah Kecil Hati Kerajaan Masih 'Anaktiri' Bidang Agama‎. #pau2013


‎Walaupun Malaysia merupakan sebuah negara Islam, namun dalam beberapa perkara, bidang agama masih dianaktirikan oleh kerajaan.

Mengemukakan pandangan ini ialah wakil mahasiswa Ahmad Shahir Shafie yang berkata lebih ramai anak muda akan tertarik dengan Umno jika bidang agama diangkat sebagai bidang profesional.
"Hanya bidang-bidang seperti kedoktoran, kejuruteraan, undang-undang dan sebagainya diiktiraf sebagai bidang profesional.
"Apa salahnya jika bidang agama seperti Usul Fiqh, Fekah, tafsir dan hadis diangkat sebagai bidang profesional...Barulah golongan-golongan agama akan bersama dengan Umno," katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada hari ketiga Perhimpunan Agung Umno 2013 di sini, Sabtu.
Beliau yang merupakan ahli Kelab Umno Luar Negara berkata golongan mahasiswa yang mengambil jurusan agama sering dipinggirkan kerajaan dalam beberapa perkara.
Beliau memberi contoh pinjaman pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang telah dimansuhkan untuk pelajar-pelajar di beberapa negara termasuklah di Mesir dan Jordan.
"Sedangkan MARA ditubuhkan untuk membantu orang-orang Melayu.
"Siapa lagi yang akan 'mengaji' bidang agama, bukankah pelajar Melayu?," katanya.
Mahasiswa yang sudah lapan tahun mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir ini berkata beliau sendiri berpengalaman seolah-olah menjadi anak tiri, selain tidak ditawarkan biasiswa.
Katanya, pendekatan kerajaan amat berbeza dengan pembangkang dalam hal ini apabila pembangkang sering turun padang dan mendekati mereka di sana.
"Saya sebenarnya amat kecil hati bila pemimpin kita ke Timur Tengah untuk majlis-majlis eksklusif sahaja. Kami yang ingin bertemu pemimpin-pemimpin hanya dapat sambut di 'gate' lapangan terbang Kaherah sahaja. Bila ingin bercakap, menyuarakan perasaan, tidak dapat.
"Yang jadi juara bidang agama adalah pihak sana (pembangkang) kerana anak-anak muda seperti saya terutama di Timur Tengah lebih tertarik dengan cara mereka menarik (perhatian) kami khususnya dalam bidang agama," katanya.
Pun begitu katanya, mahasiswa di sana tetap berdiri teguh di belakang Umno dan kerajaan.
Selain itu, dalam memperkasakan pendidikan agama, beliau turut mencadangkan agar lebih banyak sekolah tahfiz dan sekolah menengah kebangsaan agama ditubuhkan kerana telah terbukti masyarakat hari ini lebih cenderung menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan.
Mstar.

No comments:

Post a Comment