Seorang wanita warganegara China yang terlibat di dalamkekecohanyang berlaku di Hotel Sama Sama Rabu lepas semasa menuntut penjelasan dari pihak berkuasa Malaysia, mengaku bahawa beliau tidak dikasari oleh sesiapa seperti yang dilaporkan oleh media antarabangsa.
Liu Guiqui, ibu salah seorang penumpang pesawat MH370 yang dipaparkan di dalam video kekecohan yang tersebar dengan meluasnya itu, menafikan bahawa beliau telah dilayan dengan buruk oleh pihak berkuasa Malaysia.
“Itu tidak benar. Saya dikelilingi oleh wartawan. Pada mulanya saya rasa seorang anggota polis muda hendak menarik saya.
“Pada mulanya, saya tidak faham apa yang sedang berlaku. Tetapi kemudian seseorang memberitahu saya supaya jangan panik.
“Mereka memberitahu saya mereka berada di situ untuk melindungi saya,” katanya kepada CCTV Amerika dalam satu temubual eksklusif.
Di dalam video itu, Liu, yang datang bersama enam warga China yang lain, dilihat diusung keluar dari bilik sidang media di Hotel Sama Sama, sambil meraung dengan kuat.
Liu menerangkan di dalam temubual tersebut bahawa beliau datang ke Kuala Lumpur untuk bertanyakan kepada ahli-ahli politik Malaysia apa yang telah berlaku kepada anaknya.
“Pada hari itu, sudah 12 hari pesawat itu menghilang. Saya tidak faham mengapa tidak ada apa-apa berita. Tiada sebarang berita mengenai anak saya,” katanya.
Liu turut menegaskan, beliau tidak berasa pihak Malaysia menerima kritikan terhadap cara negara itu mengendalikan krisis ini.
“Saya tidak percaya itu adalah situasinya. Saya pasti mereka (Malaysia) berada di bawah tekanan yang tinggi. Saya faham mereka sedang sibuk mencari pesawat.
“Jadi, mereka tidak boleh memberikan perhatian kepada keluarga penumpang,” katanya.
Wartawan yang menemubual wanita itu dikejutkan seketika apabila Liu berlutut sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari pesawat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua negara yang cuba untuk mencari keluarga kami. Saya perlu berlutut untuk menunjukkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu dalam usaha-usaha untuk mencari ahli keluarga kami.
“Terima kasih banyak-banyak kerana mencari keluarga kami. Saya berterima kasih kepada mereka,” katanya.
Semasa insiden tersebut, warganegara China tersebut tiba-tiba meluru masuk kira-kira 4.30 petang ke dalam bilik sidang media sambil membawa kain rentang yang tertera "Kami membantah kerajaan Malaysia lambat menyelamatkan penumpang dan mendesak bawa ahli keluarga pulang tanya sebarang syarat."
Ada yang melaung-laung meminta agar ahli keluarga mereka dikembalikan sebelum mereka dibawa keluar pihak keselamatan dari bilik sidang media.
Pesawat MH370 terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Udara Subang, jam 2.40 pagi pada 8 Mac lalu.
Sejumlah 239 penumpang dari pelbagai negara termasuk anak kapal berada di dalam penerbangan tersebut dan ia masih belum ditemui lagi.
No comments:
Post a Comment