Bakal calon berpotensi daripada Parti Pekerja Sarawak
(SWP) bagi kerusi Parlimen Sri Aman iaitu Andy Lawrence telah bertindak keluar
parti demi memberi fokus terhadap kerjayanya.Andy yang memiliki kerjaya sebagai seorang jurutera elektrik
berkata, beliau bertindak keluar daripada SWP kerana kecewa terhadap kemelut
yang melanda parti berkenaan.
Sebelum ini, dirinya menjadi ‘buruan’ pimpinan tertinggi SWP
ketika berada di Kuala Lumpur dan terpaksa berhenti kerja seterusnya pulang ke
bandar kelahirannya, Sri Aman untuk melakukan persiapan menjelang Pilihan Raya
Umum Ke-13 (PRU13) ini.
Bagaimanapun, muncul khabar angin selepas itu yang menyatakan
bahawa namanya dan seorang lagi nama calon berpotensi untuk kawasan Parlimen
Sri Aman iaitu William Pilo telah digugurkan SWP menjelang PRU13 ini.“Setelah merasai dan menyaksikan semua ini dalam SWP, saya
akhirnya berpendapat bahawa parti keluarga Datuk Sng Chee Hua adalah
mempergunakan orang Dayak bagi mewujudkan kedudukan politik mereka.
“Saya tidak mahu mana-mana bahagian dalam parti ini kerana ia
boleh mengganggu proses politik dan ekonomi orang Dayak,” katanya di sini
semalam.
Andy yang berusia 31 tahun pada masa sekarang turut menyatakan kesediaan
untuk memulakan kerjaya baharu di mana-mana tempat memandangkan beliau
mempunyai kelayakan sebagai jurutera elektrik.
Dalam perkembangan berkaitan, muncul khabar angin baharu yang
menyatakan bahawa Donald Lawan telah menjadi pilihan SWP untuk bertanding di
kerusi Parlimen Sri Aman pada PRU13 nanti.Namun, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan itu
menafikan khabar angin itu dengan menyatakan pendirian tetapnya bersama Barisan
Nasional (BN).
Lawan turut menawarkan diri di samping menyatakan kesediaan untuk
bertanding di kawasan Parlimen Sri Aman jika mereka mahukan dirinya berbuat
demikian.“Saya mahu menjadi calon BN sekiranya bertanding di kerusi
Parlimen Sri Aman. Malah, saya juga mahu menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS)
jika dipilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum nanti.
“Saya sentiasa menjadi orang BN dan langsung tidak mempunyai
sebarang hasrat untuk menyertai mana-mana parti yang bukan daripada BN.“Saya juga akan bertanding atas tiket Bebas, tetapi tidak sesekali
untuk parti pembangkang,” katanya.Lawan juga mengesahkan bahawa beliau kenal penasihat SWP iaitu
Datuk Sng Chee Hua namun tidak mempunyai hubungan yang rapat dengannya.
“Beliau (Sng) tidak pernah menemui saya… jika ada pun saya tetap
tidak akan menyertai SWP memandangkan perjuangan beliau dan saya adalah tidak
sama.
“Lagipun dalam masa yang sama, saya tidak ada sebab untuk
menentang Tan Sri James Masing (presiden PRS) cuma kini saya tidak bersetuju
dengan Masir Kujat (Ahli Parlimen Sri Aman),” katanya.
Sementara itu, Masing mengalu-alukan kenyataan Lawan dan berharap
agar beliau memberi sokongan terhadap Masir selaku ahli Majlis Tertinggi PRS
dan bakal calon pada PRU13 nanti.
Beliau juga berharap agar Lawan tidak bertindak mengelirukan
penduduk dengan kedudukan bercanggahnya kerana ia boleh memberi impak negatif
terhadap anaknya, Snowdan iaitu ADUN Balai Ringin merangkap Timbalan Setiausaha
Agung PRS.
No comments:
Post a Comment