Semua orang boleh menyebut berjihad dengan jiwa
raga demi kerana Allah. Tapi tidak semua orang boleh meninggalkan tilam empuk, makanan enak,
isteri yang cantik serta anak-anak yang comel demi kerana Allah..
Jihad Di Kalangan Rakyat Malaysia Di Luar Negara Perlu Dipantau – Muhyiddin
Aktiviti jihad
membabitkan rakyat Malaysia di luar negara tidak boleh dipandang ringan dan
perlu terus dipantau pihak berkuasa bagi memastikan aktiviti keganasan tidak
menular di dalam negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin.
Beliau berkata
aktiviti seumpama itu agak membimbangkan kerana mereka yang terlibat dianggap
sebagai pelampau walaupun mungkin tujuan mereka ialah ke arah jihad
fisabilillah.
“Mereka ini dilatih
dalam bentuk ketenteraan oleh pasukan-pasukan bersenjata, jadi ini sesuatu yang
kita harus pantau (dan) walaupun ia berlaku di luar negara, tetapi kemungkinan
ada (di dalam negara) kalau mereka pulang ke tanah air.
“Kalau tidak
dipantau, inilah kumpulan-kumpulan yang boleh memberi masalah dan mempunyai
hubung kait dengan keganasan dan sebagainya,” kata beliau di Kompleks Seri
Pekembar, Pagoh di sini hari ini.
Beliau berkata
demikian ketika mengulas aktiviti jihad membabitkan rakyat Malaysia di luar
negara yang semakin membimbangkan.
Sebagai sebuah negara
yang mengamalkan demokrasi, Muhyiddin berkata kerajaan tidak mahu sebarang
perkara yang boleh menimbulkan huru-hara.
“Jadi walapun
peristiwa itu berlaku di luar negara seperti Syria dan di mana pun, kita tidak
boleh pandang ringan, memang pihak kerajaan ada buat pemantauan melalui
hubungan kita dengan rakan-rakan pihak berkuasa di peringkat antarabangsa.
“Kita sudahpun terima
laporan pihak Kementerian Dalam Negeri menerusi Interpol. Kita sudah dapat
maklum balas tentang keadaan yang sebenar tetapi kita belum dapat memastikan
secara terperinci,” kata beliau.
Dua hari lepas, Ketua
Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis telah mengenal pasti
identiti sebahagian daripada 15 individu yang terkorban dalam kegiatan
keganasan dan jihad di Syria pertengahan bulan ini.
Bagaimanapun,
pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mendapatkan butiran tepat sebelum
mendedahkan sama ada 15 individu itu adalah rakyat Malaysia atau sebaliknya.
Sebuah laporan akhbar
tempatan baru-baru ini mendedahkan terdapat aktiviti merekrut pejuang jihad
melalui laman sosial yang turut membabitkan rakyat Malaysia.