Vokalis kumpulan Wings iaitu Awie meluahkan rasa sedih terhadap segelintir masyarakat yang memandang serong terhadapnya selain mengaitkan dia dengan 'gengsterisme'.
Bagaimanapun, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, sebagai seorang penyanyi yang dikenali, dia terpaksa menerima pandangan negatif tersebut dengan tangan terbuka kerana percaya Allah lebih tahu kebenarannya.
"Sejak masuk dalam industri hiburan lagi, saya sering dipandang serong oleh segelintir pihak lebih-lebih lagi apabila melibatkan hal gengsterisme.
"Memang sudah lekat di fikiran orang, apabila ada berita artis bergaduh ia semestinya melibatkan saya.
"Agak sedih dengan tanggapan begitu, tetapi nak buat macam mana? Walaupun saya cuba mempertahankan diri daripada sekumpulan gengster, saya tetap dilihat sebagai punca sesebuah pergaduhan itu berlaku," katanya.
Tambah Awie, sepanjang hampir 30 tahun bergelar penyanyi, sebanyak lima kali dia dibuli oleh sekumpulan gengster yang tidak berpuas hati dengannya.
"Apabila berada di sebuah tempat yang kita tahu ramai kumpulan gengster, perlukah saya mencari gaduh? Itu namanya cari bahaya.
"Lima kali saya dibuli dan setiap kali diganggu, pasti saya akan pertahankan diri. Namun, masyarakat pula menganggap saya ini kaki pukul," ujarnya.
Ditanya adakah penyakit gangguan makhluk halus yang dialaminya sebelum ini ada kaitan dengan isu pergaduhan yang pernah berlaku padanya, Awie enggan mengambil tahu tentang perkara tersebut.
Beritahu Awie, sepanjang setahun lebih menjalani perubatan secara tradisional, dia tidak pernah meminta bantuan bomoh untuk melihat siapa yang cuba menganiayanya dengan cara syirik itu.
"Rasanya, sepanjang hidup ini saya tidak pernah berlaku nakal atau cuba menganiaya orang. Melainkan saya pertahankan diri daripada dianiaya, itu benar.
"Tak tahulah kalau penyakit misteri saya ini adalah angkara orang yang tak puas hati dengan saya. Cuma andai kata benar ada yang berkecil hati, maafkan saya, kerana saya seorang manusia biasa yang sering melakukan kesalahan," ujarnya.
Bagaimanapun, Awie mengambil perkara yang telah berlaku padanya itu secara positif dengan menganggap ia mungkin satu penebusan dosa-dosa masa lampau yang mungkin tidak disedarinya.
"Apa yang saya lihat, bermula dengan isu gengsterisme, kemudian terpaksa berada di bawah pemantauan polis selama dua tahun akibat bergaduh dengan pegawai polis.
“Seterusnya diikuti pula dengan penyakit misteri yang dialami, saya anggap ia sebahagian daripada perjalanan kehidupan.
"Ia adalah penebusan dosa-dosa saya. Alhamdulillah, kini saya bebas daripada penyakit misteri itu," katanya. Mstar
No comments:
Post a Comment