Orang kita kelihatan semakin tak endah.
Perbincangan dan perbahasan dalam parlimen juga macam bebudak berkelahi saja.
Bodoh benau kelihatannya. Tak setaraf langsung dengan taraf pendidikan seorang
wakil rakyat.
Apa sudah jadi
dengan Parlimen?
Saya masih ingat lagi
ketika menjadi pelajar suatu masa dahulu, malah sehingga kini, untuk memasuki
kawasan parlimen, dikenakan syarat-syarat yang begitu
ketat. Jika lelaki, pakaiannya adalah lounge suit dan bertali
leher, baju kemeja lengan panjang dan bertali leher, baju batik lengan panjang,
baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok, seluar panjang berwarna gelap (slack)
dana berkasut kulit.
Manakala, untuk wanita pula, berbaju kurung
atau kebaya labuh/blouse berlengan panjang, skirt panjang
di bawah paras lutut, bersari dengan blouse berlengan dan
pakaian kebangsaan kaum-kaum lain, seluar panjang (slack), atau
lain-lain pakaian yang kemas dan sopan serta berkasut.
Pakaian yang tidak dibenarkan adalah, baju
tanpa lengan, jaket, seluar jeans, pakaian ketat dan menjolok
mata, berselipar/kasut sukan, berbaju berkolar bulat dan baju T.
Pada ketika itu, sesiapa sahaja yang mahu
memasuki kawasan parlimen, pemeriksaan dilakukan dengan ketat. Kami akan
‘dihalau’ balik jika tidak berpakaian dengan elok.
Kini tidak lagi. Sejak BN tidak mendapat dua
pertiga majoriti, etika pakaian sudah tidak dititikberatkan. Parlimen sudah
menjadi pasar. Tidak mustahil nanti ada yang datang dengan berseluar pendek
atau mungkin tidak berseluar.
Peraturan sebegini bukanlah sesuatu yang luar
biasa. Pergilah ke mana-manapun, boleh dikatakan semua parlimen negara di dunia
ini, ada etika berpakaian tersendiri mengikut cara dan budaya masing-masing.
Tradisi ini adalah sebagai salah satu cara menghormati kedudukan parlimen yang
mulia.
Tiba-tiba kita dikejutkan dengan pakaian
seorang ahli parlimen yang perasan dirinya cantik dan menarik perhatian,
berpakaian seperti nyonya pasar. Malangnya, speaker dewan tidak mengindahan
teguran ahli parlimen terhadap wanita tersebut.
Malah wanita malang tersebut turut mengadakan
posing bagi menunjukkan betapa cantiknya dengan baju berwarna-warni. Naik
muntah saya. Ingatan saya kepada speaker, jika etika pakaian tidak penting,
lain kali tidak perlulah speaker memakai pakaian dewan yang ditetapkan. Pakai
sahaja topi dan pakaian koboi.
Peraturan tetap peraturan, tidak kira hari apa
sekalipun. Apatah lagi ketika hari terakhir dewan bersidang. Kemuliaan dewan
mesti dijaga. Hatta dalam majlis perkahwinan sekalipun ada kod etikanya.
Begitu juga etika berpakaian ke pejabat
kerajaan dan swasta. Kita tidak boleh berpakaian sewenang-wenangnya,
termasuk pelanggan. Jika ada yang tidak tahu etika berpakaian, kita perlu ajar,
agar mereka tidak jadi kurang ajar.
Adik saya, seorang peguam mengatakan, di
mahkamah, sekiranya seseorang peguam dan anak guamnya tidak berpakaian mengikut
etika, peguam tersebut akan dihalau oleh hakim. Ini bermakna, etika berpakaian
adalah suatu perkara yang besar walaupun pada kita mungkin perkara kecil.
Apa jua alasan yang diberikan harus
mencerminkan daya keintelektualan ahli parlimen. Tidak semestinya memakai
pakaian putih hitam itu menandakan kesedihan dan kematian. Jika begitu keadaan
di mahkamah, hakim dan peguam, semua berpakaian sedemikian, bermakna menunggu
masa untuk mati.
Sebagai seorang pelajar jurusan sains
politik, ingin saya memberikan sedikit nasihat kepada sidang ahli parlimen yang
mulia.
Pertama, parlimen adalah institusi tertinggi
negara dan berdaulat. Rakyat sedang melihat kamu semua di parlimen. Jagalah
akhlak dan tingkah laku. Mana perlu bertegas, kita kena bertegas, tidak kira
masa dan tempat. Tidak kira kumpulan dan fahaman politik mana. Sikap berlembut
kita tidak akan menjadikan mereka hormat atau menyokong kita. Mereka semua hari
ini sengaja mahu mencabar kita. Mereka mahu lihat, sejauh mana kuatnya kita.
Kedua, di negara barat, walaupun mereka bukan
Islam, peraturan tetap peraturan, tidak ada kompromi. Sebab itulah mereka
dihormati. Bukan macam kita, bila dah terkena, baru terhegeh-hegeh nak bertegas
seperti pemeriksaan imigresen hasil insiden kehilangan MH370. Belajarlah dari
Singapura, walaupun saya meluat menggunakan contoh negara ini. Tetapi ketegasan
mereka telah menyebabkan mereka merasai kemanisan hari ini. Kita pula, terbalik.
Tegas tidak kena tempat, lembut tidak kena masa.
Ketiga, kaduk sudah naik junjung. Kepala kita
sudahpun dipijak. Masihkah tidak sedar? Boleh dikatakan apa jua perkara
berkaitan dengan Islam akan ditentang dan dicabar. Apakah kita masih tidak sedar
atau sengaja memejamkan mata? Nasihat saya, jangan jadi pemimpin jika tidak
berani bertegas.
Saban hari membaca berita, sudah naik muak.
Kita asyik mengalah. Banyak keputusan mahkamah tidak menyebelahi Islam. Ini
tidak termasuk pesta berhibur dan minum arak sehingga ada yang mati sia-sia.
Apakah kita sudah tidak mengenal dosa dan pahala? Syurga dan neraka?
Jika kita tidak menyelamatkan agama Islam dan
umatnya, nak harapkan siapa lagi? Semuanya bermula dengan ketegasan kita di
parlimen. Justeru, jangan biarkan parlimen dinodai. Jika ada yang tidak mahu
mengikut peraturan dan mencabar parlimen, tunggu apa lagi, ajar secukupnya.
Jika tidak, mereka akan menjadi kurang ajar.
No comments:
Post a Comment