Berterusan - Pengundi Muda
Pemerintahan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) perlu dikekalkan setelah terbukti mampu menjamin kestabilan, kemakmuran dan keamanan yang berterusan di negara ini, demikian menurut beberapa pengundi muda.
Mereka yang akan mengundi buat pertama kalinya pada pilihan raya umum ke-13 Ahad ini, berpendapat BN juga telah membawa pembangunan besar buat negara selain melaksanakan program-program yang memanfaatkan rakyat.
Pekerja kedai runcit, Aizam Mat Zain, 24, berkata kerajaan BN wajar dikekalkan kerana negara berada dalam keadaan aman dan selesa sejak sekian lama.
"Saya mengharapkan pilihan raya kali ini, kerajaan sedia ada dapat kekal sebab telah banyak yang dilakukan untuk kebaikan rakyat. Misalnya pemberian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) untuk individu bujang seperti saya," katanya ketika ditemui semasa tinjauan Bernama di Hentian Putra di sini.
Beliau turut menyuarakan keterujaannya untuk pulang mengundi di Kelantan kerana ia merupakan pengalaman pertama menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Pendapat sama turut dikongsi pelajar sebuah institut pengajian tinggi swasta, Izni Mat Noh, 25, yang mengharapkan kerajaan sedia ada terus menerajui negara kerana seiring pembangunan pesat negara, kehendak dan keperluan golongan muda sepertinya turut diberi perhatian oleh kerajaan.
"Kebanyakan orang muda seperti saya masih belajar. Saya lihat kerajaan dapat memenuhi keperluan kami seperti bantuan Baucar Buku 1Malaysia untuk pelajar universiti," katanya ketika ditemui di Hentian Putra.
Bagaimanapun, Izni berkata beliau berharap kerajaan BN dapat menambah baik sistem pentadbiran negara sekiranya kekal memerintah termasuk mencari pendekatan efektif bagi membasmi gejala rasuah dan kronisme.
Pelajar sebuah institut pengajian tinggi awam, Anis Che Mad, 23, juga berharap kerajaan BN dikekalkan kerana ia telah melaksanakan banyak perubahan untuk kemajuan negara.
"Rasa tak sabar nak mengundi esok kerana ini peluang pertama kali buat saya," katanya ketika ditemui di Hentian Putra.
Kerani syarikat swasta M. Sevarani, 26, pula berkata kerajaan sedia ada mempunyai pemimpin-pemimpin yang layak untuk menerajui negara ini dan mereka harus dikekalkan.
"Jika pemerintah negara berubah, saya bimbang keadaan tidak lagi seperti sekarang. Mungkin dalam masa lima tahun ini apa-apa pun boleh terjadi jika negara diperintah oleh mereka yang tidak layak," katanya ketika ditemui di tempat sama.
Pekerja swasta, Salihan Yusouf, 25, berkata beliau tidak nampak alasan kenapa kerajaan sedia ada perlu ditukar kerana ia telah membuktikan kemampuannya menunaikan janji kepada rakyat.
"Bukti sudah ada, kita boleh menilai yang mana mampu membawa perubahan kepada negara," katanya.
Sementara itu, tinjauan di Hentian Putra mendapati orang ramai mula bertumpu ke stesen itu mendapatkan bas untuk pulang ke destinasi masing-masing sempena pilihan raya pada Ahad.
Kerani kaunter bas Sani Express di Hentian Putra, Siti Norjeha Che Yusof berkata tiket untuk laluan ke Terengganu dan Kelantan telah habis dijual sejak tiga minggu lepas.Bagi perkhidmatan bas Ekspres Perdana, kerani kaunter Mohd Farhan Ab Rahman berkata tiket ke Kelantan, Terengganu dan Pahang habis dijual seminggu selepas 10 April lepas.
Pengurus Kanan Pemasaran Perkhidmatan InterCity Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Noordin Kimi pula berkata 50,000 tiket sudah habis dijual setakat ini daripada 91,586 tiket yang ditawarkan sempena pilihan raya umum, Ahad ini.
Beliau berkata mereka yang mahu membeli tiket pada saat akhir untuk pulang mengundi masih berpeluang mendapatkan tiket secara terus di kaunter tiket ataupun membuat tempahan melalui Pusat Panggilan KTMB di talian 1-300-88-5862 atau boleh melayari www.ktmb.com.my.
Sementara itu, syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Bhd menyatakan pihaknya mendapat sambutan baik sejak pelancaran kempen 'Fly Home to Vote' April lepas bagi penerbangan domestik dan antarabangsa.
Menurut kenyataan syarikat itu, ia memang menjangkakan jumlah penumpang meningkat sempena pilihan raya umum.
Kira-kira 35,000 orang dijangka menggunakan Terminal Tambang Murah (LCCT)pada Ahad, kata kenyataan itu. - BERNAMA
KK : Berpolitik secara matang...
No comments:
Post a Comment