Tuesday 7 August 2012

SAMBUTAN KEPULANGAN 'JAGUH PERSEORANGAN' BADMINTON NEGARA DI MALAYSIA 'KECOH'

KIRA-kira 1,000 peminat menyambut ketibaan pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, yang mengutip pingat perak kedua dalam Sukan Olimpik, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pagi hari ini.

Mengikut tinjauan Sinar Harian Online, rata-rata peminat dari pelbagai bangsa tidak sabar menanti ketibaan wira negara itu menunggu beliau di balai ketibaan sejak 6.30 pagi tadi.

Meskipun gagal dalam misi membawa pulang emas pertama negara di temasya Olimpik London, Chong Wei tetap menerima pujian dan sokongan rakyat Malaysia.

Salah seorang peminat yang tiba di KLIA sejak awal pagi lagi, Camiella Camca, 29 berkata, dia begitu teruja untuk menyambut jaguh negara itu hari ini.

"Saya tiba dari pagi lagi semata-mata mahu sambut Chong Wei. Saya ingin ucapkan terima kasih kepadanya kerana telah mengharumkan nama negara.

"Bagi saya, Chong Wei seorang pemain yang patut dibanggakan. Diala wira negara," katanya.

Pada Ahad lepas, Chong Wei, yang turun sebagai pilihan utama kejohanan, membawa pulang perak setelah tewas 21-15, 10-21, 19-21 kepada jaguh  China Lin Dan pada perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki di Arena Wembley, London semalam. 

Keputusan itu mengulangi pencapaian di Beijing empat tahun lepas apabila beliau turut kecundang pada lawan yang sama.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut beliau diberi sambutan wira oleh peminatnya yang mengibarkan bendera dan melaungkan kata-kata sokongan setibanya di tanah air.

Ruang balai ketibaan KLIA dipenuhi peminat dan penyokong yang tiba seawal 6 pagi dengan membawa sepanduk dan poster antaranya tertera 'LCW - National Hero' dan 'We Love You LCW'.

Semasa menantikan ketibaan Chong Wei, mereka turut menyanyikan beberapa lagu patriotik seperti 'Negaraku' dan 'Barisan Kita' secara beramai-ramai.

Suasana di balai ketibaan itu riuh apabila berita pesawat Malaysia Airlines MH02 yang membawa Chong Wei dari London dilapor mendarat pada kira-kira 7.30 pagi, dengan peminat mula melaung-laungkan nama beliau berulang kali.

Sebaik sahaja Chong Wei melangkah ke balai ketibaan sejam kemudian, para peminat dan penyokong melaungkan slogan 'Malaysia Boleh' dan menyanyikan lagu 'Negaraku' dan 'Barisan Kita' serta melaungkan nama pemain badminton negara itu.

Chong Wei turut bertemu dengan kumpulan media di balai ketibaan sambil mengalungkan pingat perak Olimpik yang dimenanginya untuk sesi bergambar media disambut sorakan gembira peminat.

Meskipun gagal dalam misi membawa pulang emas pertama negara di temasya Olimpik London namun rakyat Malaysia rata-ratanya tidak menyalahkan atlet itu atas kekalahannya sebaliknya menganggap beliau telah melakukan yang terbaik.

"Saya ucap terima kasih kepada penyokong yang ada di sini hari ini. Saya memang terkejut dan tidak sangka ada penyokong yang tunggu di sini (KLIA).

"Mungkin lebih ramai pada 2008 (Sukan Olimpik  Beijing), memang kecewa sebab sedikit lagi untuk dapat pingat emas. Apapun saya telah buat yang terbaik dengan dua minggu sahaja persediaan untuk ke Olimpik kali ini," kata Chong Wei.

Terdahulu, ketibaan Chong Wei dan beregu lelaki, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong disambut Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim. _Sinar
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment