"Hilang Seri" Pekan Baru Sg. Petani |
Kerajaan Kedah akan membantu menghidupkan semula Pekan Rabu Sungai Petani bagi menggalakkan lebih ramai usahawan menjalankan perniagaan di situ selepas dikesan tidak 'bermaya' sejak sekian lama.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, antara usaha yang akan dilakukan adalah menambah baik bangunan di samping memberikan khidmat nasihat kepada para usahawan berminat.
Suraya Yaacob |
Beliau berkata, langkah tersebut diyakini mampu menjadikan Pekan Rabu Sungai Petani sebagai pilihan bagi kalangan usahawan menjalankan perniagaan.
"Pekan Rabu Sungai Petani dikesan tidak hidup sejak sekian lama. Hal ini berlaku kerana wujud beberapa masalah dan ia turut melibatkan sikap para usahawan sendiri. Saya fikir usahawan perlulah mempunyai produk yang kukuh dan hebat. Jika ada produk bagus, sudah tentunya pelanggan akan pergi membeli tak kira di mana lokasi kita berniaga," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Suraya berkata, kerajaan negeri akan meminta kerjasama daripada Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) untuk meningkatkan promosi di samping menganjurkan aktiviti sampingan seperti jualan 'car boot sales' bagi tujuan memeriahkan semula Pekan Rabu Sungai Petani.
Tambahnya, Pekan Rabu Sungai Petani juga berpotensi dijadikan tarikan seperti Pekan Rabu Alor Setar sekiranya para peniaga menjalankan kegiatan menjual produk dan perkhidmatan unik.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Peniaga Pekan Rabu Sungai Petani, Norreney Ali berkata, pada mulanya terdapat sekitar 50 peniaga yang menjalankan kegiatan di situ.
Bagaimanapun katanya, bilangan peniaga yang aktif kemudiannya semakin berkurangan dan menyebabkan bangunan Pekan Rabu Sungai Petani seolah-olah hilang seri.
"Sungguhpun begitu, kita berharap dapat menghidupkan semula kawasan ini. Persatuan juga telah diwujudkan dan saya berharap agar semua peniaga dapat memberikan kerjasama untuk menjadikan Pekan Rabu Sungai Petani sebagai lokasi perniagaan berdaya maju," katanya.-utusan
No comments:
Post a Comment