Thursday 10 May 2018

#PRU14 : Kebencian Rakyat Terhadap Najib.



Keputusan PRU14 merupakan manifestasi kepada kebencian membuak-buak hampir semua golongan rakyat jelata terhadap corak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak yang dilihat memalukan negara ekoran skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilionnya.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, rakyat bangkit bila melihat bekas Perdana Menteri berusia 93 tahun merisikokan kesihatan diri untuk menjelajah ke seluruh pelosok negara semata-mata untuk mendedahkan segala salah laku yang didakwa dilakukan oleh Najib.

"Penyampaian Tun Mahathir mengenai segala salah laku ini di dalam segenap ceramah beliau pula sangat berkesan kerana ia dibuat dalam bahasa yang sangat mudah difahami oleh rakyat jelata, termasuk penduduk di luar bandar.

Ungkapan ringkas Tun Mahathir seperti 'Najib pencuri', 'Najib perompak' dan 'Najib penyamun cukup menyentuh jiwa rakyat jelata, apatah lagi bila Najib sendiri gagal membuat apa-apa yang meyakinkan untuk menjawabnya,"katanya.

Selain itu, Kamarul Zaman berkata, tindakan Tun Mahathir memaparkan diri beliau sebagai mangsa dizalimi susulan tindakan kerajaan membatalkan pendaftaran Bersatu sehari sebelum pembubaran parlimen meraih simpati rakyat jelata kepada beliau.

"Serangan peribadi yang keterlaluan terhadap Tun Mahathir juga turut berbalik arah kerana ia mendatangkan rasa kasihan rakyat jelata kepada beliau kerana rata-rata mereka masih mengenang jasa bakti beliau sebagai Perdana Menteri,"ujarnya.

Tambah beliau lagi, turut memainkan peranan ialah media massa seperti akhbar Sinar Harian yang sering memberikan liputan luas terhadap Tun Mahathir termasuk di dalam wacana viral yang mempersoalkan apakah beliau terlalu tua untuk jadi Perdana Menteri.
"Kesemua perkara ini menyentuh emosi dan sentimen rakyat jelata, apatah lagi bila ia dikaitkan dengan kesusahan kehidupan harian mereka, di mana emosi dan sentimen ini mendorong mereka keluar beramai-ramai untuk menolak Najib.

Signifikan kepada kemenangan Harapan dalam PRU14 ialah ia adalah lonjakan besar dalam kehidupan rakyat kerana ia membuktikan mereka juga mempunyai kuasa menentukan corak kehidupan mereka,"katanya.

Kamarul Zaman berkata, selama 61 tahun terkurung oleh kerajaan sama sebelum ini, kejayaan mereka mengubah buat pertama kali kerajaan di peringkat pusat ini memberikan mereka satu 'sense of empowerment' yang cukup besar maknanya kepada diri mereka.

"Setelah berjaya mengubah kerajaan sekali, maka sudah tentulah selepas ini mereka tidak akan ragu-ragu lagi untuk berbuat perkara yang sama jika kerajaan yang mereka pilih ini gagal memenuhi harapan dan kehendak mereka seperti dijanji,"katanya.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/pru14-cermin-kebencian-rakyat-terhadap-najib-1.832961

No comments:

Post a Comment