Tuesday 7 January 2014

@MukhrizMahathir akui Guna Kereta Mercedes Benz S320, KBV 8 #HanyaDiKedah


Kereta Mercedes Benz S320 bernombor pendaftaran KBV 8 yang menjadi kenderaan rasmi Menteri Besar Kedah, kini menjadi bualan ramai, gara-gara dakwaan beberapa laman sosial dan blog pro pembangkang bahawa kereta itu bertukar ‘wajah’ namun menggunakan nombor plat sama.

Berdasarkan dakwaan itu, kerajaan negeri dikatakan membeli Mercedes Benz S300 sekitar penghujung tahun lalu, namun menggunakan plat lama, KBV 8 pada kereta baharu berikutan nombor plat itu didaftarkan bawah kerajaan negeri sebagai kereta rasmi Menteri Besar Kedah.

Bagaimanapun, kereta yang dimaksudkan itu tidak kelihatan di pekarangan Wisma Darul Aman, dan difahamkan berada di sebuah bengkel kereta bagi tujuan pemeriksaan.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir, bagaimanapun menafikan membuat pembelian kereta baharu bagi kegunaan rasmi menteri besar.

“Tidak ada kereta baharu dibeli, kereta yang saya gunakan dibeli ketika zaman Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak ketika menjadi Menteri Besar. Saya guna kereta sama yang digunakan Allahyarham, iaitu Mercedes Benz S350, nombor plat KCX8,” katanya, kepada media, sejurus selesai majlis perhimpunan bulanan di Wisma Darul Aman, hari ini.

Menurutnya, Mercedes Benz S320 bernombor plat KBV8 yang dibeli pada tahun 2006 oleh menteri besar sebelum itu, iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid masih digunakan sehingga kini.

“Kereta itu masih digunakan tetapi kereta itu sudah lama, namun kita tidak membeli kereta baharu untuk kegunaan rasmi,” katanya.

Mengulas dakwaan pembelian kereta Mercedes Benz S300 yang dikatakan berlaku beberapa bulan lalu, Mukhriz menegaskan, ia tidak berlaku seperti heboh diperkatakan.

“Kereta Mercedes Benz S300 yang saya gunakan di Kuala Lumpur untuk urusan rasmi adalah milik saya, bukan kerajaan negeri. Saya gunakan kereta peribadi untuk kurangkan beban kewangan kerajaan negeri, cuma diletakkan plat tertulis menteri besar bagi memudahkan urusan terutama jika memasuki perkarangan Istana,” katanya.

Mukhriz turut memperjelaskan kereta miliknya itu dibeli dua tahun lalu. Pada September 2011, Allahyarham Azizan dikecam apabila membeli KCX 8 sebagai kereta rasmi tambahan milik kerajaan negeri untuk kegunaan kenamaan, manakala Allahyarham selesa menggunakan Mercedes Benz KBV 8, yang diwarisi daripada Mahdzir. KCX 8 didaftarkan pada 20 Jun 2011 manakala KBV 8 didaftar 5 April 2006. Kedua-dua kenderaan itu didaftar bawah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.

No comments:

Post a Comment