Friday 1 March 2013

#LahadDatu : Jenazah Anggota Komando Terkorban Tiba Di Subang Malam Ini

Gambar Hiasan


KUALA LUMPUR: Jenazah dua anggota komando polis pasukan gerakan khas 69 Komando yang terkorban dalam pertempuran dengan sekumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah, pada Jumaat, diterbangkan ke ibu negara malam ini.
Penerbangan itu dijadual tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini, pada kira-kira 11.30 malam, kata Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), ACP Ramli Mohamed Yusof kepada Bernama.
Anggota terkorban yang berkhidmat di Kem Ulu Kinta itu ialah Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46.
Allahyarham Zulkifli, yang berasal dari Kampung Kubang Ikan, Besut, Terengganu, meninggalkan seorang isteri, Noraziah Noor dan dua anak lelaki berusia empat dan satu tahun.
Sementara Allahyarham Sabarudin meninggalkan seorang isteri, Nurunisa AbuBakar, dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.
Allahyarham berasal dari Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor dan alamatnya kini adalah di Kem Polis Komando Ulu Kinta, Perak.
Tiga anggota komando polis yang cedera dalam kejadian itu ialah Koperal Mohd Tarmizi Hashim, 32, Koperal Azman Ampong, 39, dan Konstabel Mohamad Qaiyum'aiqalZolkifli, 22.
Ramli berkata, Mohd Tarmizi cedera di tangan dan kaki manakala Azman yang cedera di paha dan punggung, kini dirawat di Hospital Lahad Datu.
Sementara Mohamad Qaiyum'aiqal yang cedera di bahu kanan dan kedua-dua kaki kini ditempatkan di Hospital Sandakan, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment